BM | EN | 中文

Penyeludup dadah menyamar sebagai nelayan

IMG-20200521-WA0003.jpg

JOHOR BAHRU, 21 MEI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) negeri menemukan lima kilogram dadah jenis syabu dalam sebuah bot pancung yang ditinggalkan di lokasi 0.4 batu nautika tenggara muara Parit Jawa, Muar, semalam.

Timbalan Pengarah Operasi APMM Johor, Kepten Maritim Sanifah Yusuf berkata, dadah yang ditemui itu dianggarkan bernilai RM250,000.

“Pada jam 5.30 petang semalam, bot ronda APMM yang menjalankan operasi mencegah kemasukan pendatang asing tanpa izin, sebelum menemui sebuah bot dalam keadaan mencurigakan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati, lima kilogram serbuk kristal dipercayai dadah jenis syabu dibungkus dalam bungkusan teh Cina yang disembunyikan di ruang penyimpanan tong minyak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan di ibu pejabat APMM Johor, di sini hari ini.

Tambah Sanifah, pihaknya percaya bot pancung tersebut ditinggalkan penyeludup selepas mereka menyedari kehadiran bot ronda APMM.

“Kami percaya bot pancung tersebut dalam perjalanan keluar negara dan menuju ke Indonesia.

“Modus operandi mereka dipercayai menyamar sebagai nelayan sebelum membawa dadah berkenaan ke sempadan perairan negara dan diserahkan kepada pihak lain yang menunggu di sana,” ujarnya.

Selain dadah berkenaan, APMM turut merampas sebuah bot fiber berukuran 19 kaki panjang dan sebuah enjin 40 kuasa kuda.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top