BATU PAHAT, 18 APR: Pentadbiran Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Bentara Luar, di Batu Pahat memohon maaf kerana mengasingkan kegiatan kokurikulum berdasarkan bangsa dan jantina pelajar.
Pengetuanya, Abdul Razak Hamid, berkata pihaknya terlepas pandang mengenai isu kaum dalam maklumat yang diedarkan kepada semua pelajar Tingkatan 1, berhubung pendaftaran dan penyertaan dalam aktiviti kokurikulum.
“Kesilapan yang berlaku tidak disengajakan dan terjadi atas sebab kesilapan kami kerana kurang ketelitian, sebelum maklumat disebar-luaskan.
“Pihak kami berjanji tidak akan mengulangi kesilapan yang berlaku,” katanya dalam kenyataan dekat sini, hari ini.
Beliau dilaporkan BH Online berkata, pihak sekolah sudah melakukan penambahbaikan dan pembetulan mengikut landasan yang sepatutnya serta mematuhi segala prosedur perlaksanaan.
“Pihak sekolah sudah menarik balik dan membatalkan kemudahan pendaftaran secara dalam talian menggunakan Google Forms yang dimuat naik pada Khamis lalu, bagi tujuan proses penambahbaikan.
“Pemakluman kesilapan dan pembetulan sudah dimaklumkan kepada ibu bapa dan penjaga melalui aplikasi ‘Group Telegram Ibu Bapa Penjaga Tingkatan 1,” katanya.
Sementara itu, dalam hantaran Facebook di laman Facebook Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, baginda turut berkongsi surat rasmi permohonan maaf dari sekolah berkenaan.
Dalam pada itu, Abdul Razak berkata, pendaftaran semula akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat dengan mengedarkan borang pendaftaran sukan dan permainan kepada semua murid.
“Murid boleh memilih sukan dan permainan yang mereka minati, namun masih tertakluk kepada bilangan penyertaan ahli kelab sukan dan permainan yang disusun atur oleh pihak sekolah supaya penglibatan murid dalam semua kelab sukan permainan seimbang dari segi bilangan, ras dan jantina,” katanya.
Semalam, tular di media sosial satu surat dikeluarkan sekolah menengah di Batu Pahat yang meletakkan syarat kaum bagi pendaftaran kokurikulum pelajar Tingkatan 1.
Johorkini