JOHOR BAHRU, 17 OKT: Jumlah kenderaan yang masuk dan keluar ke selatan Johor sejak pergerakan rentas negeri dibenarkan kerajaan menunjukkan peningkatan bagi kedua-dua hala.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohd. Solihan Badri berkata, sejak 10 Oktober hingga semalam, peningkatan sebanyak 29.77 peratusan dicatatkan melibatkan kenderaan memasuki negeri ini.
Manakala katanya, dalam tempoh sama pihaknya merekodkan peningkatan 30 peratus kenderaan keluar dari selatan negeri ini.
“Sebelum kebenaran rentas negeri dibenarkan, kadar kenderaan masuk adalah 35,600 buah manakala kenderaan keluar adalah 36,000 buah.
“Namun setelah rentas negeri dibenarkan, kadar kenderaan masuk adalah sebanyak 46,200 buah manakala kadar kenderaan keluar adalah sebanyak 46,800 buah,” katanya, lapor Utusan Online.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kebenaran rentas negeri secara serentak di seluruh negara selepas kadar suntikan vaksinasi Covid-19 kebangsaan melepasi sasaran 90 peratus populasi dewasa negara.
Tambah Mohd. Solihan, laluan keluar masuk itu melibatkan pintu utama ke selatan Johor iaitu melalui Tol Kulai, Tol Senai Utara dan Tol Skudai.
“Kerajaan negeri menjangkakan jumlah kenderaan akan terus meningkat terutamanya pada musim perayaan Deepavali yang akan bermula pada 4 November ini.
“Sehubungan itu, semua pengguna jalan raya dinasihatkan untuk sentiasa berhati-hati ketika memandu dan mematuhi had laju yang ditetapkan selain memastikan kenderaan dalam keadaan baik,” ujarnya.
Mohd. Solihan turut mengingatkan masyarakat agar terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan berhubung pandemik Covid-19 kerana negara belum bebas sepenuhnya daripada wabak tersebut.
Johorkini