Oleh Kamarul Halim M Kamal
BATU PAHAT, 25 NOV: Peniaga antara yang terjejas pendapatan berikutan pandemik COVID-19, berharap agar ada bantuan jangka panjang daripada kerajaan negeri melalui Belanjawan Johor 2021 yang akan dibentang esok.
Peniaga roti canai, Muhammad Nazrul Hafiz Hussen yang menjalankan perniagaan di pekan Parit Sulong, dekat sini, berkata perniagaannya terjejas teruk sehingga kehilangan sumber pendapatan kira-kira 70 peratus akibat pandemik itu.
Pemuda berusia 20 tahun itu yang baru dua tahun berada di alam perniagaan, memohon agar ada diselitkan bantuan tertentu atau bantuan ‘khas’ kepada peniaga terutamanya golongan muda sepertinya.
“Walaupun saya mewarisi perniagaan roti canai ini daripada ayah, Hussen Kuttyamo tetapi saya masih mengharapkan adanya bantuan berkenaan seperti pinjaman untuk pusingan modal perniagaan serta insentif tertentu lebih-lebih lagi kini terjejas teruk akibat pandemik.
“Memang saya akui adanya beberapa bantuan sebelum ini tetapi lebih untuk jangka masa beberapa bulan sahaja. Diharapkan kerajaan negeri akan dapat memikirkan sesuatu bantuan untuk kelangsungan hidup kami peniaga muda ini,” katanya, lapor Bernama.
Seorang lagi peniaga yang membuka warung di Kampung Mohd Nor, dekat sini, Mohd Suffian Md Ali, turut bersependapat dengan Nazrul Hafiz agar diteruskan bantuan tertentu atau diwujudkan bantuan khas bagi peniaga kecil agar mereka dapat terus bernafas.
Meskipun dilihat kedai makan dan warung masih dikunjungi pelanggan, tetapi kuantiti pembelian dilihat berkurangan berbanding sebelumnya sekali gus mengakibatkan kekurangan dari segi keuntungan serta wang pusingan modal.
“Jika keadaan seperti ini berterusan mungkin ada peniaga dalam kalangan kami akan ‘berehat’ daripada berniaga atau mengehadkan jualan kami, justeru itu sekiranya kerajaan negeri dapat membantu kami amat bersyukur,” kata pemuda berusia 37 tahun itu.
Dalam pada itu, bagi pemandu bas persiaran, Aris Padilah Jaffar, 44, semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan Mac lepas, dia dicutikan tanpa gaji oleh majikannya.
“Saya mengharap sangat bagi Belanjawan Johor 2021 ini, dapat diselitkan bantuan untuk kami bagi jangka masa panjang… buat masa ini bagi menampung perbelanjaan harian, saya terpaksa berniaga kecil-kecilan menjual kuih untuk sarapan pagi di pekan Sri Medan,” katanya.
Bernama