BM | EN | 中文

Peniaga didakwa terlibat aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM2.45 juta

Mahkamah_Johor_Bahru.jpg

Gambar Hiasan

Advertisement

JOHOR BAHRU, 10 JAN: Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini, terhadap satu pertuduhan membabitkan aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM2.45 juta, dengan mengaku sebagai seorang kerabat diraja Johor, dua tahun lepas.

Tertuduh, Mohd Yazzid Ahmad, 40, yang menggunakan nama ‘Tunku Yazzid’ kononnya sepupu kepada Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, bagi memperdaya sebuah syarikat untuk syarikat tersebut mendapatkan satu projek, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohd Yazzid didakwa memperoleh wang tunai berjumlah RM2.45 juta daripada seorang lelaki berumur 47, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram di luar sebuah bank di Permas Jaya, di sini, pada 16 April 2019.

Advertisement

Dia didakwa mengikut subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2002 (Akta 613).

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjarakan sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu, pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Farid Ahmad Kamal, menawarkan tertuduh diikat jamin RM250,000 dengan seorang penjamin, namun, peguam Shaik Saleem SM Daud memohon jaminan minima dengan alasan tertuduh kehilangan pendapatan, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan COVID-19.

Advertisement

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin dan 1 Feb untuk sebutan semula kes.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top