BM | EN | 中文

Pengusaha di kawasan Perindustrian Segamat 1 mengeluh cukai tanah tinggi

Dr-Sulaiman-sewaktu-melawat-kawasan-Perindustrian-Segamat-1.jpg

Dr Sulaiman sewaktu melawat kawasan Perindustrian Segamat 1, baru-baru ini

SEGAMAT, 14 OGOS: Pengusaha Industri di kawasan Perindustrian Segamat 1 rata-rata mengeluh berkenaan dengan cukai tanah yang meningkat mendadak pada tahun ini.

Adun Kemelah, Dr Sulaiman Mohd Nor berkata, beliau dimaklumkan tentang perkara itu oleh Persatuan Industri Segamat 1 (Boss Club) berkenaan cukai tanah yang meningkat dan merayu agar kerajaan Johor mempertimbangkan semula kadar tersebut.

“Persatuan Boss Club berjumpa saya sekali lagi sebelum PKP dan menunjukkan kepada saya kadar kenaikan cukai yang begitu tinggi, sehingga ada yang mencapai kenaikan cukai melebihi 80 peratus.

“Saya yakin mereka lebih terkesan akibat PKP yang banyak menjejaskan kerancakan ekonomi di daerah Segamat dan kawasan industri seperti Industri Segamat 1.

“Ramai mereka yang terpaksa membayar cukai bagi mengelak didenda. Pertanyaan saya kepada salah seorang Exco pada Mei tahun ini bahawa erajaan negeri masih belum mengambil apa-apa pendirian rasmi berkaitan kenaikan ini.

“Pada awal pengisytiharan kadar kenaikan, saya pernah memberi pandangan kepada pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor agar kadar kenaikan perlu mengambil kira dan membezakan daerah yang pesat membangun dan baru hendak membangun” jelasnya ketika ditemui.

Dr Sulaiman yang juga Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor berkata, kerajaan negeri perlu membantu industri agar dapat terus menjana ekonomi setempat dan negeri.

Tambahnya, ekonomi tempatan perlu dibangunkan agar perkerjaan kepada penduduk tempatan dapat diteruskan khususnya ketika fasa pemulihan pasca wabak COVID-19.

“Sewaktu awal pengumuman kenaikan cukai tanah, wakil-wakil rakyat Pakatan Harapan Johor telah mengadakan pertemuan sebanyak dua kali.

“Pertama dengan mantan Menteri Besar dan kedua dengan wakilnya berkaitan isu kenaikan cukai yang mendadak. Antara cadangan pada ketika itu agar industri diberi rebat pada suatu ketika kelak.

“Kita berharap sangat agar rebat ini dapat dilaksana walaupun kerajaan kini di bawah Perikatan Nasional (PN).

“Menjadi tanggungjawab mana-mana kerajaan memastikan rakyat terus hidup sejahtera, peluang untuk menyara hidup dapat diteruskan dan keadilan ditegakkan kepada semua pihak,” jelasnya lagi.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top