BM | EN | 中文

Pengusaha bas, van di Johor dibebani masalah pinjaman, mohon bantuan kerajaan

pengusaha-bas-persendirian-johor.jpg

ISKANDAR PUTERI, 12 MEI: Perikatan pengusaha bas, van serta pemandu kenderaan persiaran, pekerja dan sekolah di Johor memohon bantuan dari kerajaan berikutan terbeban akibat pinjaman.

Menurut wakil pengusaha bas, R. Thiagarajan, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah berlangsung selama tiga bulan memberi kesan yang amat besar kepada pengusaha pengangkutan persendirian di negeri ini.

“Tujuan kami berkumpul pada hari ini adalah untuk menyatakan keluhan serta masalah kami sejak bermulanya pandemik Covid-19 pada pertengahan Mac.

“Keluhan kami tidak didengari. Kami terjejas teruk dan tidak mendapat sebarang bantuan daripada kerajaan. Masing-masing telah sampai pada tahap untuk menamatkan perniagaan mereka.

“Kita tidak dapat lagi bertahan dengan pelbagai bebanan yang ditanggung,” kata Thiagarajan pada sidang media hari ini yang turut disertai kira-kira 300 wakil pengusaha pengangkutan dan pemandu dari 50 syarikat.

Katanya, para pengusaha termasuk pemandu hanya mengharapkan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) untuk menampung keluarga mereka sepanjang PKP.

Menurut beliau, pengumuman Kementerian Kewangan yang memaklumkan pihak yang membuat pinjaman kredit dan sewa beli telah dikecualikan pembayaran melalui moratorium.

Namun katanya, pengusaha pengangkutan bukannya syarikat besar dan mereka tidak mampu membuat pinjaman bank.

“Kami semua bukan syarikat besar. Ada milikan tunggal, perkongsian dan ‘enterprise’. Kami tidak mampu membuat pinjaman bank. Untuk berniaga kami terpaksa membeli kenderaan tersebut melalui pinjaman kredit pensendirian dimana faedahnya di antara 10 hingga 13 peratus.

“Apabila PKP diumumkan, segala sektor bas dihentikan dan kami hadapi masalah kerana tiada pendapatan. Kami tidak mampu membayar hutang pinjaman kredit,” katanya.

Tambah beliau, institusi pinjaman kredit mendesak pengusaha bas setiap hari untuk membuat pembayaran pinjaman dan sekiranya gagal kadar faedahnya akan meningkat dua kali ganda.

“Kami mengambil cara yang diumumkan kerajaan melalui pinjaman mikro kredit dan Tekun, tapi sampai sekarang tak terima apa-apa maklumat. Syarat yang dikenakan menyukarkan keadaan kami,” ujarnya lanjut.

Justeru pihaknya mendesak kerajaan sebagai orang tengah untuk melonggarkan syarat pinjaman terutamanya melibatkan institusi kredit dan Tekun.

Dalam pada itu tambah beliau, sekiranya PKP dilanjutkan sehingga ke hujung tahun dan sesi persekolahan tidak dibuka, hampir 80 peratus terutamanya pengusaha bas sekolah terpaksa menamatkan operasi.

“Kita menjadi penggerak masyarakat di negara ini sektor (pengangkutan), tapi suara kami tak kesampaian,” tambahnya.

Menurutnya lagi, pendapatan kasar pengusaha bas adalah di bawah RM5,000 sebulan tidak termasuk pemotongan kos selenggara, minyak harian dan gaji pekerja.

“Untung bersih kadang-kala tidak mencecah RM1,000 pun,” katanya lagi.

Tambah Thiagarajan, pihaknya bercadang untuk menyerahkan memorandum kepada kerajaan negeri dan kesemua 56 Ahli Dewan Undangan Negeri Johor bagi mengajukan masalah mereka dan berharap perkara itu dibahaskan di peringkat DUN 14 Mei nanti.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top