KULAI, 24 NOV: Pengusaha bas di negeri ini berharap kerajaan negeri Johor mengambil kira nasib mereka yang tidak berupaya menjana pendapatan ketika pandemik COVID-19, dalam Belanjawan Johor 2021, Khamis ini.
Pengerusi Pertubuhan Muafakat Pengusaha dan Pemandu Bas Negeri Johor R. Thiagarajan berkata keprihatinan kerajaan negeri penting bagi memastikan kelangsungan hidup mereka dalam tempoh mencabar sekarang.
Beliau berkata pengusaha bas kini sudah cukup menderita dengan isu pembayaran pinjaman kredit yang tidak diberikan moratorium sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan Mac lalu.
“Apa yang kami minta sekarang ialah keprihatinan pihak berwajib. Kewangan kami ketika ini sudah kritikal kerana tiada punca pendapatan.
“Hendak mencari kerja lain bukan senang kerana ada antara kami telah berada dalam bidang ini selama 15 tahun,” katanya dalam sidang media di rumahnya di Taman Kulai Jaya, di sini, hari ini.
Katanya mereka memerlukan bantuan dana bagi menjalankan program seperti bakul makanan untuk diagihkan kepada pengusaha terjejas.
Thiagarajan berkata pihaknya juga berharap kerajaan negeri Johor menerusi Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) membenarkan mereka membuat pengiklanan menggunakan bas dimiliki mereka.
“Sebagai contoh, kontrak pengiklanan selama enam bulan akan membantu kami menjana pendapatan sekitar RM6,000 hingga RM8,000 sebulan, sekali gus mengurangkan keperitan ditanggung pengusaha ketika ini,” katanya, menambah persatuan itu mewakili 60 pengusaha.
Menurutnya ada pengusaha yang bersedia menukar kerjaya mereka sekiranya ada bantuan dari segi mengenal pasti bidang yang bersesuaian dengan kemahiran mereka.
Belanjawan Johor 2021 yang dijadual dibentangkan Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad pada Khamis ini merupakan belanjawan pertama di bawah kerajaan Perikatan Nasional selepas mengambil alih pentadbiran negeri daripada Pakatan Harapan, Februari lalu.
Bernama