JOHOR BAHRU, 14 SEPT: Jawatankuasa pengurusan masjid dan surau di negeri Johor bakal dirombak bermula Januari tahun hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Tosrin Jarvanthi berkata ia bertujuan menambahbaik fungsi dan pengurusan masjid dan surau di negeri ini.
“Sebelum ini bila ada pemilihan kariah masjid, ia hanyalah melalui satu mesyuarat panggilan dan tertumpu kepada golongan-golongan yang tertentu.
“Usaha rombakan ini adalah untuk memberi peluang kepada semua pihak memohon jawatan dalam pengurusan jawatankuasa masjid dan surau di negeri Johor,” katanya dalam satu sidang media di Pusat Islam Iskandar di sini semalam.
Beliau berkata, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) telah mengeluarkan satu garis panduan yang baru dalam pemilihan jawatan-jawatan pengerusi, timbalan pengerusi, setiausaha, bendahari, ketua penerangan dan ahli-ahli jawatankuasa.
“Dalam prosedur baru yang kita kemukakan, jawatan boleh dimohon oleh semua pihak dengan syarat mengisi borang khas yang boleh didapati di pejabat kadi daerah, pejabat penghulu atau di pejabat ketua kampung,” katanya.
Tambah Tosrin lagi, pemohon harus menghantar borang yang telah lengkap diisi ke mana-mana pejabat daerah sebelum 25 September ini.
“Mereka yang terpilih akan ditemubual di peringkat daerah yang akan dipengerusi oleh tuan pegawai daerah yang berkenaan,” katanya.
Walaubagaimanapun, Tosrin menegaskan bahawa ketua-ketua kampung tidak dibenarkan untuk memohon jawatan pengerusi masjid dan surau di negeri ini.
Beliau berkata, ahli jawatankuasa dan pengurusan sedia ada kekal sehinga Disember ini, sebelum rombakan bermula awal tahun hadapan.
Johorkini