BM | EN | 中文

Pengurus kedai warga Bangladesh didenda RM2,000 miliki 113 kg karkas lembu

Mahkamah_Johor_Bahru.jpg

Gambar Hiasan

Advertisement

JOHOR BAHRU, 7 JUL: Seorang pengurus kedai runcit didenda RM2,000 di Mahkamah Majistret di sini, hari ini setelah mengaku salah atas pertuduhan memiliki 113 kilogram (kg) karkas lembu yang tidak disembelih di rumah penyembelihan diluluskan atau dilesenkan, Februari lalu.

Md Billal Hossain, 48, warga Bangladesh membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nor Azian Mohd Sohaini.

Mengikut kertas pertuduhan, Md Billal pada 16 Februari lalu, pada pukul 9.30 pagi di sebuah kedai runcit di Taman Desa Idaman, dekat Senai, didapati memiliki 113 kg daging karkas lembu itu yang tidak disembelih di rumah penyembelihan diluluskan atau dilesenkan dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Johor (JPVNJ).

Advertisement

Bagi perbuatan itu, Md Billal didakwa mengikut Kaedah 5(3) Kaedah-kaedah Binatang (Kawalan Penyembelihan) 2009 Akta Binatang (Pindaan 2013) dan boleh dihukum mengikut Kaedah 17 (Pindaan 2018) kaedah sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JPVNJ, Mohd Zamri Shak @ Ishak manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ketika mengemukakan rayuan, Md Billal memohon hukuman ringan atas alasan hanya bekerja sebagai pengurus kedai dengan pendapatan RM1,500.

Advertisement

Bagaimanapun, Mohd Zamri memohon hukuman setimpal ke atas tertuduh kerana daging lembu terbabit tidak memiliki perakuan kesihatan yang dikhuatiri dijangkiti penyakit yang boleh memberi pelbagai kesan penyakit terhadap manusia.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM2,000 dan turut memerintahkan Md Billal dipenjara dua minggu jika gagal membayar denda terbabit.

Tertuduh kemudian membayar denda tersebut.

Advertisement

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top