PONTIAN, 13 NOV: Pengundi yang berada di luar daerah diseru supaya pulang ke Tanjung Piai untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di kawasan Parlimen itu, 16 November ini.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata setakat ini, rayuan-rayuan berbentuk surat telahpun dihantar kepada mereka yang berada di luar daerah selain dihubungi secara peribadi.
“Mereka ini masih dihubungi dimana (selain dalam bentuk surat) rayuan juga telah dibuat sendiri oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan dari pihak saya.
“Jika pengundi yang berada di luar kawasan ini pulang untuk menunaikan tanggungjawab mereka, ia akan memberikan impak kepada parti yang bertanding,” katanya pada sidang media yang diadakan di Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan, di Eco Rambah, di sini, hari ini.
Muhyiddin yang juga merupakan Pengerusi PH johor berkata, pengundi yang berada di luar daerah bukanlah ancaman, malah, beliau mengharapkan kehadiran yang munasabah Sabtu ini.
“Kebiasaan Pilihan Raya Kecil (PRK) kehadirannya memang tidak setinggi Pilihan Raya Umum (PRU), tapi apa yang saya lihat rata-rata orang di kawasan Tanjung Piai ini hampir semua akan keluar (mengundi).
“Ini kemungkinan kerana hebatnya pergerakkan kempen-kempen dan setakat harini, saya nampak respon untuk keluar mengundi adalah hampir 100 peratus,” katanya lagi.
JohorKini