BM | EN | 中文

Penghantar makanan maut, dirempuh kereta terbabas di jalan Johor Bahru – Air Hitam

takziah.jpg
Advertisement

KULAI, 21 JUL: Kegigihan seorang penghantar makanan keluar bekerja pada hari cuti umum sempena sambutan Aidiladha, maut dalam satu kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 30 Jalan Johor Bahru – Air Hitam, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan maut itu jam 5.50 petang.

Beliau berkata, mangsa yang menaiki motosikal Honda Wave berumur 33 tahun, maut di lokasi kejadian.

Advertisement

“Mangsa (lelaki) mengalami kecederaan di badan dan kepala, disahkan meninggal oleh pasukan paramedik Hospital Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai. Kemalangan membabitkan motosikal ditunggang mangsa dengan dua kereta jenis Honda dan Chevrolet.

“Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku apabila pemandu kereta Honda dari Kilometer 30, Jalan Johor Bahru-Air Hitam memandu secara laju dari lorong sebelah kiri, kemudian terus memasuki lorong kanan sebelum hilang kawalan, lalu terlanggar bahagian kiri tayar depan kereta Chevrolet yang ketika itu berada di lorong sebelah kanan.

“Kereta Honda itu kemudian memasuki lorong bertentangan jalan dan melanggar motosikal yang ditunggang mangsa,” katanya, lapor Berita Harian.

Advertisement

Beng Yeow berkata, keadaan jalan di lokasi adalah lurus dua hala dan setiap hala dipisahkan batu pembahagi jalan dan selekoh menaiki bukit.

Katanya, aliran trafik ketika kemalangan tidak sibuk dan persekitaran jalan juga terang, cuaca baik dan jalan kering.

“Pemandu kereta Honda yang cedera dibawa ke Hospital sama untuk menerima rawatan. Kenderaan akan dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) Senai untuk pemeriksaan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Advertisement

Seorang penghantar makanan maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Johor Bahru-Air Hitam, di Kulai, semalam. – Foto ihsan pembaca

Johorkini

 

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top