PONTIAN, 29 SEPT: Terminal Feri Antarabangsa Kukup, di sini akan kembali beroperasi selepas dihentikan sementara sejak 1 September lalu.
Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, pelbagai perkara harus diselesaikan terlebih dahulu termasuklah rujukan tentang pelesenan bersama Jabatan Laut Malaysia.
Katanya, terminal yang kini dikendalikan oleh Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) itu dijangka beroperasi diantara 15 Oktober hingga 1 November ini.
“Pengoperasian semula terminal ini akan dipercepatkan supaya segala perkhidmatan dapat berjalan seperti biasa.
“Sementara itu terminal ini masih dibawah PAJ sehingga ada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang menunjuk minat untuk mengambil alih darinya,” katanya dalam satu sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di daerah Pontian di sini, hari ini.
Lawatan itu turut menyaksikan perasmian bangunan taska Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Tazim (YPKDT) serta lawatan ke jeti berkenaan.
Sahruddin juga sempat beramah mesra bersama peniaga di Arked Mara dan menyampaikan sumbangan kepada golongan yang memerlukan di Pusat Informasi Pelancongan Daerah Pontian.
“Berdasarkan lawatan kerja hari ini, projek-projek pembangunan di daerah ini segalanya sedang berjalan lancar,” katanya lagi.
Johorkini