BM | EN | 中文

Penggal pertama sekolah tahun depan dibuka 20 Januari

pelajar-sekolah-pelitup-muka-covid-19-coronavirus.jpg
Advertisement

KUALA LUMPUR, 3 OGOS: Tarikh pembukaan penggal pertama persekolahan sesi 2021 di seluruh negara ditetapkan pada Rabu 20 Jan.

Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin berkata tarikh itu ditetapkan berdasarkan takwim tahun 2021 yang telah dimuktamadkan.

Beliau berkata takwim penggal dan cuti persekolahan bagi tahun 2021 itu disediakan dengan mengambil kira pelbagai aspek yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan penularan pandemik COVID-19.

Advertisement

“Jadi, penyelesaian untuk cabaran yang timbul sepanjang tempoh ini tentunya memerlukan pendekatan dan kaedah yang luar dari kebiasaan. Begitu juga dalam konteks pindaan takwim persekolahan dan takwim peperiksaan.

“Berdasarkan tarikh baharu ini, kita buka (sekolah) jauh lebih lewat daripada biasa. Takwim persekolahan tahun 2020 telah dipinda dengan memaksimumkan tempoh hari persekolahan dan mengurangkan cuti akhir tahun,” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Radzi berkata pengurangan cuti akhir tahun itu membolehkan pelajar mempunyai tempoh pembelajaran secara bersemuka yang mencukupi sebagai persediaan untuk tahun berikutnya.

Advertisement

Ini kerana terdapat kelemahan dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) melalui kaedah ‘Home-Based Learning’ sepanjang tempoh PKP.

Beliau berkata kaedah itu adalah sesuatu yang baharu dalam kalangan guru, pelajar dan ibu bapa selain ramai pelajar tidak dapat mengikuti pembelajaran dalam talian kerana akses kepada teknologi komunikasi yang terhad.

“Jika situasi ini berterusan, murid akan menghadapi kesukaran untuk mencapai tahap penguasaan minimum dalam setiap mata pelajaran yang diikuti. Ini akan memberi kesan kepada minat dan motivasi murid untuk terus mengikuti pembelajaran.

Advertisement

“Kementerian telah meneliti secara menyeluruh untuk jangka masa sederhana dan jangka panjang bagi memastikan murid sekurang-kurangnya mencapai tahap penguasaan minimum dalam setiap mata pelajaran yang diikuti,” katanya.

Selain itu, beliau berkata kementerian telah menjalankan Kajian Kesediaan Murid dalam Pembelajaran Secara dalam Talian pada 28 Mac hingga 2 April lalu melibatkan 670,118 responden yang terdiri daripada ibu bapa kepada 893,331 pelajar.

Beliau berkata dapatan kajian itu menunjukkan enam peratus pelajar memiliki komputer peribadi; 9.3 peratus memiliki komputer riba; 5.8 peratus memiliki tablet dan 46.5 peratus memiliki telefon pintar.

Advertisement

Namun pada masa sama, katanya masih terdapat 36.9 peratus pelajar sekolah yang tidak mempunyai sebarang peranti bagi membolehkan mereka mengikuti pembelajaran secara dalam talian.

“Dapatan ini menunjukkan bahawa sebahagian besar murid tidak dapat mengikuti pembelajaran secara dalam talian dengan berkesan kerana tidak memiliki peranti bersesuaian… terdapat juga kekangan dalam akses kepada Internet.

“Keadaan ini menyebabkan pembelajaran tidak dapat berlaku secara menyeluruh dan seragam kepada semua murid,” katanya.

Advertisement

Berikutan itu, Radzi berkata Home-based Learning turut dilaksanakan melalui siaran TV Pendidikan melalui saluran TV Okey dan Tutor TV Astro 601 dan 603 serta rancangan radio pendidikan menerusi Kedah FM, Terengganu FM dan Johor FM.

Selain itu, terdapat guru yang melaksanakan PdP melalui serahan bahan pembelajaran kepada pelajar yang dibuat melalui pelbagai kaedah seperti perkhidmatan pos, bantuan penghantaran oleh Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) dan kaunter pandu lalu di sekolah.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top