JOHOR BAHRU, 5 FEB: Akibat kepimpinan politik Menteri Kesihatan Dr Adham Baba yang lemah, Ketua Pengarah (KP) Kesihatan, Dr Noor Hisham terpaksa memikul hampir semua beban pengurusan Covid-19.
Susulan itu, Senator Liew Chin Tong menyarankan Dr Adham Baba meletak jawatan atau ditukar kepada kementerian lain kerana gagal mengawal gelombang ketiga jangkitan Covid-19 sejak bulan September 2020 yang melonjak naik pada bulan Januari 2021.
Pengerusi DAP Johor itu berkata jika seorang Menteri Kesihatan yang ingin dilantik bukan daripada kalangan ahli politik antara tokoh terbaik adalah Tan Sri Jemilah Mahmood
“Sekiranya ia memerlukan lantikan politik daripada UMNO, demi mengelakkan masalah politik, sekurang-kurangnya Khairy (Jamaluddin nampak jauh lebih berkebolehan daripada Dr Adham Baba.
“Secara peribadi, saya meminta Perdana Menteri untuk melantik Khairy sebagai Menteri Kesihatan.
“Jika kerajaan hanya memberi Khairy portfolio imunisasi tanpa sokongan penuh daripada birokrasi Kementerian Kesihatan, ia seolah-olah mahu melihat beliau gagal,” kata Chin Tong dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya dalam sistem demokrasi berparlimen Westminster, Menteri perlu menggalas tanggung jawab penuh atas segala dasar yang diputuskan oleh kementerian.
Manakala tugas KP Kesihatan untuk memastikan pelaksanaan dasar kementerian, iaitu dasar yang ditentukan Menteri selepas rundingan bersama dengan Kabinet dan Perdana Menteri.
“Jika kegagalan berlaku, menteri dan kerajaan perlu bertanggungjawab sepenuhnya.
“Malaysia memerlukan Menteri Kesihatan yang baharu. Krisis yang kita hadapi sekarang sudah mencapai tahap amat merunsingkan.
“Kita tidak tahu di mana perginya Menteri Kesihatan, dan beliau dilihat sebagai tidak layak untuk mengetuai kementerian yang paling penting ketika negara sedang memerangi wabak Covid-19.
“Kita berterima kasih kepada Tan Sri Noor Hisham kerana penilaian beliau banyak membantu negara pada peringkat awalnya.
“Tidak adil untuk kerajaan menyerahkan semua tugas, termasuk membuat keputusan dasar, kepada KP Kesihatan,” kata Chin Tong.
Tegasnya, KP Kesihatan tidak patut dipersalahkan kerana pihak eksekutif iaitu Menteri yang bertanggungjawab sepenuhnya.
“Sekiranya Menteri berkelayakan dan berkebolehan, KP Kesihatan tidak perlu pun membuat keputusan politik dan dasar yang sukar,” ujarnya lagi.
Johorkini