JOHOR BAHRU, 15 OGOS: Jemaah Menteri semalam memutuskan pengenalan tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu kepada murid Tahun 4 Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) akan diteruskan mulai tahun depan, dengan pelaksanaannya bergantung kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta ibu bapa dan murid sekolah berkenaan.
Perkara tersebut diumumkan Kementerian Pendidikan menerusi satu kenyataan, dimana kementerian tersebut turut menyatakan yang pengenalan tulisan Jawi akan diteruskan seperti biasa di Sekolah Kebangsaan.
Kabinet juga memutuskan yang pengenalan tulisan Jawi dimuatkan sebanyak tiga muka surat di dalam buku teks namun tidak dinilai dalam apa-apa ujian atau peperiksaan.
“Mesyuarat Jemaah Menteri turut menetapkan supaya tulisan Jawi ini dikekalkan dengan nama pengenalan tulisan Jawi dan bukannya khat, dan hanya diperkenalkan secara pilihan pada peringkat asas sahaja kepada murid Tahun 4 mulai tahun 2020, murid Tahun 5 pada tahun 2021 dan murid Tahun 6 pada tahun 2022 di Sekolah Jenis Kebangsaan,” kenyataan tersebut berbunyi.
Kementerian Pendidikan juga dalam masa sama berharap isu tulisan Jawi di SJK tidak lagi dibangkitkan sehingga menimbulkan kekeliruan dikalangan masyarakat dan menambah akan terus mengadakan sesi libat urus dengan semua pihak demi kebaikan sistem pendidikan negara.
Johorkini