JOHOR BAHRU, 16 OKT: Para pengeksport di negeri ini digesa untuk lebih agresif bagi mengekalkan perkembangan eksport yang konsisten, terutamanya dalam persekitaran perdagangan yang mencabar.
Timbalan ketua eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Sharimahton Mat Saleh berkata, ini kerana lokasi Johor yang strategik.
Katanya, ini kerana, kedudukan Johor yang bersebelahan dengan Singapura, iaitu sebuah negara yang strategik untuk pengeluar-pengeluar dari negeri ini untuk terus mengeksport barang ke luar negara.
“Dalam cabaran ini, peluang terlalu banyak terutamanya dengan pasaran dunia yang banyak boleh diceburi,” katanya ketika berucap di Hari Eksport Johor 2019 yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini.

Sharimahton (kanan) dan Dr Sahruddin (dua, kanan) ketika melawat salah sebuah booth di perasmian Hari Eksport Johor 2019
Program yang dirasmikan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal itu turut dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse.
Sharimahton berkata, Johor telah mencatatkan pertumbuhan positif untuk sektor jentera dan kelengkapan pengangkutan, bahan api galian dan produk pelincir, bahan kimia, barangan perkilangan dan juga makanan.
“Tidak lupa juga sumbangan besar industri perabot yang dieksport daripada negeri ini,” katanya lagi.
Beliau berkata MATRADE dengan kerjasama kerajaan negeri sentiasa mencari program untuk mempromosi kan lagi produk-produk dari Malaysia terutamanya dari Johor.
“Antaranya termasuklah program khidmat nasihat dimana lebih 40 program diadakan di peringkat ibu pejabat dan di sekitar negeri,” katanya.
Tambahnya lagi, menurusi program tersebut, pelbagai pihak dapat berkongsi maklumat tentang risikan perdagangan serta penyebaran maklumat mengenai pasaran terkini.
JohorKini