BM | EN | 中文

Pengawal keselamatan antara enam ditahan kes curi kabel di Kota Tinggi

pengawal-keselamatan-curi-kabel-Kota-Tinggi.png
Advertisement

JOHOR BAHRU, 9 JAN: Polis menahan enam lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes samun dan curi kabel di kawasan pencawang Tenaga Nasional Bhd di Bukit Pelali, dekat Kota Tinggi kelmarin.

Antara ditahan termasuk seorang pengawal keselamatan yang kononnya mendakwa dia turut menjadi mangsa.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Johor Supt Hussin Zamora berkata pengawal keselamatan pencawang berkenaan yang berusia 24 tahun pada mulanya membuat laporan polis pada pukul 9.25 pagi mendakwa disamun sekumpulan lelaki bertopeng yang bersenjatakan sepucuk senapang patah pada pukul 2.30 pagi.

Advertisement

Bagaimanapun hasil siasatan polis mendapati pengawal berkenaan sebenarnya berkomplot dengan seorang lagi pengawal keselamatan di situ, beserta empat lagi orang awam dipercayai rakannya yang berumur antara 19 dan 36 tahun, untuk membuat lakonan seolah-olah satu kejadian samun bersenjata berlaku.

Beliau berkata pengadu itu kemudiannya ditangkap di Balai Polis Bandar Penawar kira-kira pukul 4.00 petang kelmarin.

“Susulan itu, pihak polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kota Tinggi telah menangkap lima lelaki tempatan di kawasan Felda Gugusan Adela, Kota Tinggi, antara pukul 5.00 petang dan 11 malam,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Advertisement

Hussin berkata, 70 meter kabel TNB dilarikan dalam kejadian itu melibatkan kerugian RM10,000.

Namun menurutnya kes berkenaan berjaya diselesaikan dalam masa kira-kira 14 jam dari tempoh laporan polis diterima, dan polis turut menemukan semula barang-barang yang dilarikan.

Turut dirampas ialah tujuh buah telefon bimbit milik suspek, dua laras senapang patah bersama tujuh butir peluru penabur, sebutir peluru 9 milimiter, tiga guni tembaga serta kabel TNB.

Advertisement

“Polis sedang berusaha mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas bersama-sama sebuah kenderaan yang digunakan semasa kejadian itu,” katanya.

Beliau menambah semakan rekod jenayah mendapati empat dari suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.

Kesemua suspek direman tujuh hari sehingga 14 Jan ini untuk membantu siasatan, dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan juga boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.

Advertisement

Bernama

 

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top