JOHOR BAHRU, 3 APR: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar bertitah, penganjuran Bazar Ramadan adalah tidak sesuai diadakan susulan penularan wabak Covid-19 yang melanda negeri dan negara ketika ini.
Baginda bertitah menegaskan risiko berlakunya kontak rapat adalah amat besar, sekali gus boleh memberi kesan kepada kesihatan masyarakat secara keseluruhan.
“Kes positif COVID-19 masih dilaporkan berlaku, maka saya melihat adalah tidak sesuai jika mahu diadakan Bazar Ramadan bukan sahaja di sini, malah ditempat lain juga demi kesihatan serta keselamatan rakyat.
“Lupakan Bazar Ramadan, saya bimbang jika berlaku penularan virus berkenaan secara berleluasa, ini akan turut memberi kesan kepada usaha kerajaan dalam membasmi sepenuhnya wabak ini,” titah Baginda.
Baginda bertitah demikian, seperti dilaporkan oleh Royal Press Office (RPO) di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru semalam.
Tambah Baginda lagi, masyarakat tidak seharusnya memandang ringan arahan serta nasihat pihak berkuasa.
“Anda lihat sendiri, bagaimana petugas-petugas perubatan bersama pasukan barisan hadapan bertugas dari pagi hingga malam dalam usaha mahu membendung penularan wabak ini.
“Bayangkan, jika wabak ini semakin berleluasa ia akan turut memberi kesan kepada pasukan perubatan sehingga merencatkan sistem rawatan,” titah Baginda lagi.
Johorkini