JOHOR BAHRU 1 OKT : Syarikat Alpha Sea Business Consulting telah dilantik sebagai penganjur baharu, Food Street Lorong Belakang Jalan Dedap 22, Taman Johor Jaya, di sini, bermula 1 Ogos lepas.
Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Amran A Rahman berkata, perlantikkan itu dibuat menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Kesihatan
dan Pelesenan Bilangan 7A/2019 yang bersidang pada 9 Julai lepas.
“Pentadbiran Majlis Bandaraya Johor Bahru telah memberikan peluang dan kepercayaan kepada penganjur
baharu, syarikat ‘Alpha Sea Business Consulting’ untuk menambah baik pengurusan ‘Food Street’ Lorong Belakang Jalan Dedap 22 dengan lebih telus.
“Ia berdasarkan beberapa kriteria seperti mengenakan yuran yang lebih rendah dan munasabah kepada penjaja meliputi pengurusan dan penyelenggaraan utiliti, lesen, kebersihan membabitkan sampah dan parit, penyediaan apron dan topi serta urusan suntikan typhoid penjaja,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Tambah Amran lagi, selain itu, pentadbiran MBJB juga telah mengambil kira bahawa penganjur baharu ini
tiada kepentingan dengan mana-mana pihak
“Sebaliknya, hanya memfokuskan untuk menyampaikan perkhidmatan yang lebih baik serta mengutamakan kebajikan penjaja agar lebih terjamin dengan sokongan semua pihak,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama semua penjaja di bazar ‘Food
Street’ tersebut supaya menghormati keputusan ini dan memberi kerjasama kepada penganjur baharu.
Difahamkan, kelulusan penganjuran itu diberikan dengan kebenaran membuka sebanyak 100 petak meniaga, dilesenkan secara lesen berkelompok serta diberikan tempoh percubaan selama enam bulan beserta syarat-syarat am pelesenan yang lain.
Terdahulu, pada 27 September lalu MCA Bahagian Pasir Gudang menuntut penjelasan MBJB berkenaan hak penganjuran medan selera di medan selera itu yang diberi kepada syarikat swasta milik perseorangan.
Medan selera berkenaan telah beroperasi lebih daripada 20 tahun dan menjadi tarikan kepada masyarakat setempat dan juga pengunjung luar.
Johorkini