BM | EN | 中文

Penduduk Taman Sinaran Kempas JB bakal diami PPR Melana Indah

PPR-Melana-Indah.jpg
Advertisement

JOHOR BAHRU, 15 MAC: Sejumlah 500 keluarga yang merupakan bekas penduduk setinggan di Taman Sinaran Kempas di sini bakal ditempatkan di Program Perumahan Rakyat (PPR) Melana Indah dalam tempoh tiga bulan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Zuraida Kamaruddin yang mengumumkan perkara itu berkata, keputusan berkenaan dibuat bagi meringankan beban sekali gus menyelesaikan masalah yang menghimpit penduduk di kawasan perumahan itu selama lebih 20 tahun termasuk isu kemudahan awam.

“Memandangkan PPR Melana Indah ini baru siap, jumlah rumah yang ada di sini kira-kira 1,450 unit, maka 500 unit daripadanya kita akan berikan kepada penduduk setinggan di Taman Sinaran Kempas dan mereka juga sudah bersetuju untuk pindah ke sini,” katanya, lapor Bernama.

Advertisement

Beliau memaklumkan telah berjumpa dengan komuniti di Taman Sinaran Kempas dan menawarkan rumah PPR ini kepada mereka.

Terdahulu, Zuraida membuat lawatan ke PPR Melana Indah di Taman Perling di sini pada Ahad.

Beliau berkata, dalam tempoh terdekat kerajaan negeri Johor dijangka akan mengadakan perbincangan selanjutnya bersama Jawatankuasa Komuniti Taman Sinaran Kempas bagi mengenal pasti mekanisme untuk komuniti itu mendapatkan rumah PPR berkenaan.

Advertisement

“KPKT sudah menyerahkan PPR Melana Indah kepada kerajaan negeri, mekanisme tersebut termasuk sama ada (500 unit) rumah itu boleh dimiliki atau disewa beli atau disewa. Saya minta kerajaan negeri untuk memberikan keutamaan kepada penduduk Taman Sinaran Kempas yang tua diberikan rumah (tingkat) bawah,” katanya.

Taman Sinaran Kempas merupakan kawasan perumahan sementara untuk penduduk perkampungan setinggan yang sebelum ini dibina di sekitar landasan keretapi Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Kempas.

Difahamkan penduduk berkenaan sebelum ini telah diminta berpindah daripada setinggan didiami ke Taman Sinaran Kempas sementara menunggu kediaman kekal disediakan untuk mereka.

Advertisement

Sementara itu, Zuraida memaklumkan kerajaan meluluskan peruntukan RM5 juta bagi projek pembangunan di sekitar Pasir Gudang membabitkan kerja-kerja membaik pulih kemudahan awam dan infrastruktur bagi gerai makan, tapak penjaja serta cerun runtuh di Kampung Sentosa Barat.

Katanya, Taman Bukit Layang-Layang di Pasir Gudang di sini, yang turut menempatkan Muzium Layang-Layang juga akan dinaik taraf sebagai Taman Persekutuan seperti Taman Persekutuan Bukit Kiara di Kuala Lumpur.

Johorkini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top