JOHOR BAHRU, 1 MEI: Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) perlu menyelesaikan isu pembinaan menara telekomunikasi di Taman Melodies di sini yang mendapat bantahan penduduk setempat.
Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Md Nasir berkata, penduduk mendakwa menara tersebut dibina tanpa perbincangan dan persetujuan mereka malah terdapat beberapa perkara menimbulkan persoalan.
Katanya, ahli majlis di zon itu juga didakwa tidak menghadiri jemputan penduduk yang mahu mengadakan perjumpaan pada 14 April bagi mengetahui ada surat sokongan atau sebaliknya.
“Sudah lama surat jemputan dikeluarkan dan hanya pada pagi 14 April ahli majlis itu memaklumkan tidak dapat hadir kerana berada di Kuala Lumpur.
“Menara itu tidak akan dibina tanpa kelulusan ahli majlis berkenaan mewakili pihak berkuasa tempatan (PBT). Ketika ini ahli majlis berkenaan seakan-akan lepas tangan dan menyerahkan kepada saya pula untuk selesaikan isu ini,” katanya, lapor Sinar Harian.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mewakili pembeli Skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Residensi Tebrau menyerahkan memorandum kepada Setiausaha Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Miswan Yunos di Ibu Pejabat MBJB di sini, Khamis lalu.
Johorkini