JOHOR BAHRU, 31 JUL: Penduduk PPR Kempas Permai yang menerima notis pengosongan premis lega dengan hasil pertemuan di antara pihak Parti Amanah Negara (AMANAH) Kawasan Pulai dengan pihak pengurusan bangunan.
Difahamkan dalam pertemuan semalam, kedua-dua pihak bersetuju untuk mencari jalan bagi membantu penduduk yang kini berada dalam kesusahan akibat pandemik Covid-19, dan bukannya menambah beban mereka.
Pertemuan dengan pihak pengurusan bangunan dihadiri Timbalan Ketua AMANAH Kawasan Pulai, Azam Haron, Pengerusi Tetap AMANAH Kawasan Pulai Mohmmad Osman dan Ketua Cawangan AMANAH PPR Kempas Permai Che Rahman Daud.
Pertemuan diadakan dalam suasana mesra,muhibah dan muafakat bagi membentuk kerjasama yang lebih erat bagi menyelesaikan masalah penduduk PPR Kempas Permai.
Sebelum ini, lebih 20 penduduk PPR Kempas Permai menerima notis merah, atau pengosongan premis dalam tempoh tujuh hari pada 22 Julai 2021 daripada pengurusan bangunan.
Rata-rata penduduk berasa bimbang, takut dan kecewa lalu mengadakan pertemuan dengan Ketua AMANAH Kawasan Pulai Suhaizan Kaiat di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Pulai dikendali Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Ada di kalangan penduduk yang tinggal di rumah PPR itu atas nama suami mereka yang telah meninggal dunia, selain menyewa dengan penduduk lain atau tidak jelas status rumah.
Susulan itu, penduduk dinasihati membuat pemakluman, rayuan dan permohonan semula dengan pihak SUK Perumahan, Kerajaan Negeri Johor bagi memudahkan pihak kerajaan mempertimbangkan kedudukan mereka berdasarkan masalah masing-masing.
Johorkini