BM | EN | 中文

PENDUDUK PERTIKAI ADUN TIDAK TURUN PADANG

ahmad-maulana.jpg

Ahmad Maulana

KLUANG, 2 OKT : Penduduk di Simpang Renggam hari ini meluahkan rasa kurang senang terhadap dua Adun di kawasan mereka yang tidak cakna berkenaan isu permasalahan bekalan air di kawasan itu.

Adun-adun yang dimaksudkan adalah Datuk Onn Hafiz Ghazi dari kawasan Layang-layang dan Abdul Taib Abu Bakar dari Machap.

Mohd Zaimi

Menurut Mohd Zaimi Zainudin, 32,  sehingga hari ini pihaknya tidak melihat kelibat dari kedua-dua Adun itu hadir bagi menyantuni penduduk di sini.

Beliau yang merupakan peniaga di situ berasa kecewa kerana janji perkhidmatan yang pernah ditaburkan oleh Adun-adun berkenaan tidak langsung ditunaikan.

“Penduduk di sini tidak ada tempat untuk memberi luahan dan aduan apabila kelibat dari dua Adun ini tidak kelihatan.

“Saya kecewa dengan tindakan pemimpin yang dipilih namun tidak bersama-sama dalam kesusahan rakyat di sini terutamanya dalam isu bekalan air yang meruncing sekarang.

“Tidak ada kesungguhan dari kedua Adun ini membawa isu bekalan air ini berbeza dengan Adun di kawasan lain yang turun padang mendengar serta membawa permasalahan sebegini untuk diperjuangkan,” ujarnya ketika ditemui di Taman Renggam Jaya.

Dalam pada itu, kawasan Simpang Rengam masih mengalami permasalahan bekalan air yang mana catuan masih dijalankan meskipun hujan telah turun sejak kebelakangan ini.

Sementara itu, menurut Ahli Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR), Ahmad Maulana Stat, permasalahan bekalan air ini telah dibawa ke Mesyuarat Ahli Majlis dan tindakan telahpun diambil bagi membantu penduduk di sini.

“Keluhan penduduk kepada saya telah pun dibawa ke peringkat yang tinggi dan dalam masa yang sama kita juga akann turun padang untuk mendengar apa lagi keperluan dari penduduk.

“Kami akan terus membantu dan hujan lebat yang turun beberapa hari kebelakangan ini telah membawa suatu khabar baik bagi penduduk di sini,” katanya ketika dihubungi.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top