BM | EN | 中文

Penduduk Kota Tinggi siap sedia hadapi banjir

Penduduk-Kota-Tinggi-siap-sedia-hadapi-banjir.jpg

Sungai Kota Tinggi di Kampung Tembioh berhadapan bandar Kota Tinggi (Gambar Ehsan Karangkraf)

KOTA TINGGI, 29 DIS: Penduduk di tiga buah kampung dan peniaga berdekatan Sungai Kota Tinggi mula membuat persiapan menghadapi bencana banjir berikutan hujan berterusan diramal berlaku di negeri ini sehingga 3 Januari depan akibat luruan monsun.

Tiga kampung berkenaan iaitu Kampung Panti, Kampung Kelantan dan Kampung Tembioh pernah dilanda banjir pada awal tahun ini menyaksikan penduduk di situ terpaksa dipindahkan ke pusat penempatan pementara (PPS) berdekatan.

Penduduk Kampung Kelantan, Sri Ningsi Aman, 44, mengakui dia masih trauma dengan kejadian banjir yang berlaku pada awal tahun ini apabila rumahnya dinaiki air hampir dua meter.

Peniaga pasar malam itu memberitahu, kedudukan rumah yang terletak kira-kira 150 meter dari Sungai Kota Tinggi menyebabkan rumahnya paling berisiko dinaiki air selepas hujan lebat dan air pasang besar.

“Saya dan keluarga sudah tinggal di sini sejak lima tahun lalu. Banjir paling teruk pernah dialami pada Januari lalu. Kesan banjir menyebabkan banyak barangan rumah seperti perabot dipenuhi lumpur dan rosak.

“Memang saya tidak beli yang baharu sebab bimbang jika banjir berlaku lagi. Bila dapat tahu tentang amaran hujan berterusan dijangka berlaku, memang tidak dapat lena tidur. Cukup bimbang jika banjir berlaku,” katanya ketika ditemui pada Selasa.

Penduduk Kampung Panti, Norashikin Zulkifli, 29 pula memberitahu, dia sentiasa berwaspada dengan keadaan cuaca dan air pasang memandangkan rumahnya terletak kurang satu kilometer dari Sungai Kota Tinggi.

Pekerja premis pakaian milik Sofia Ab Hamid di bandar Kota Tinggi sedang sibuk meletakkan stok pakaian di tempat yang tinggi sebagai persiapan menghadapi kemungkinan banjir berlaku.

“Kawasan Kampung Panti terletak berdekatan Kampung Kelantan antara kawasan yang pernah dilanda banjir di Kota Tinggi. Ramalan cuaca mengenai hujan yang dijangka turun di Johor membuatkan saya dan keluarga cukup bimbang.

“Walaupun rumah kami tinggi tetapi tetap berisiko dinaiki air. Dari segi persiapan, dokumen penting dan sebahagian pakaian telah dihantar ke rumah ibu yang terletak di kawasan lebih tinggi di Kota Tinggi,” katanya, lapor Sinar Harian.

Sementara itu, peniaga pakaian di bandar Kota Tinggi, Sofia Ab Hamid, 68, memberitahu, kedainya paling cepat dinaiki air kerana terletak kira-kira 200 meter dari Sungai Kota Tinggi.

Jelasnya, banjir yang berlaku pada Januari lalu masih memberi kesan kepadanya kerana menanggung kerugian hampir RM100,000 apabila stok pakaian hari raya rosak akibat ditenggelami banjir dan terpaksa dibuang.

“Memang teruk kejadian banjir pada awal Januari lalu, air naik sehingga paras pinggang atau kira-kira 1.5 meter. Stok pakaian hari raya yang saya ambil habis ditenggelami air dan saya rugi.

“Setakat ini stok pakaian yang baru tiba saya dan pekerja sudah kemas dan letak di tingkat atas kedai. Saya juga maklum tentang kemungkinan hujan berterusan di Johor dan sekiranya berlaku banjir tidak menyebabkan kemusnahan yang besar seperti awal tahun ini,” katanya.

Sebelum itu, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi, Muhammad Helmi Abdullah pada Isnin dilaporkan berkata, hujan berterusan diramalkan berlaku di timur Sabah sehingga 2 Januari dan barat Sarawak pula pada 29 hingga 31 Disember manakala di Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan pada 30 Disember hingga 3 Januari akibat luruan monsun.

Pada 4 Januari lalu, bandar Kota Tinggi lumpuh sepenuhnya apabila semua jalan keluar masuk ke situ terputus akibat banjir yang berlaku.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top