BM | EN | 中文

PENDUDUK KAMPUNG BELANTIK MAHU KERAJAAN BAIKI SEGERA KEROSAKAN PINTU AIR

hassan-1.jpg

JOHOR BAHRU, 16 DIS: Penduduk Kampung Belantik, di sini mahu kerajaan memulihkan pintu air di kawasan berhampiran segera bagi mengelakkan kawasan tersebut dinaiki air setiap kali hujan turun.

Wakil penduduk, Mohd Aris Kechik, 67, berkata, banjir mula terjadi di perkampungan itu sejak pintu air di kawasan berhampiran rosak kira-kira enam bulan lalu.

Mohd Aris Kechik

Menurutnya, sejak Disember tahun ini, perkampungan itu telah dinaiki air sebanyak tujuh kali.

“Masalah banjir yang dihadapi penduduk kampung ini berpunca daripada kerosakan pintu air yang tidak dapat dibuka, sama ada secara automatik ataupun manual.

“Ini menyebabkan air tidak dapat dilepaskan ke sungai berhampiran ketika hujan sekaligus menyebabkan banjir berlaku.

“Jika hujan turun selama tiga jam, air akan naik hingga paras peha. Bulan ini sahaja kampung ini sudah dinaiki air sebanyak tujuh kali,” katanya.

Dia berkata demikian kepada JohorKini ketika ditemui semasa sesi lawatan kerja Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim ke kampung tersebut, hari ini.

Tambah Mohd Aris, dianggarkan 20 buah kediaman akan terjejas setiap kali perkampungan itu dinaiki air dan mereka terpaksa menanggung kerugian ratusan ringgit apabila bencana itu berlaku.

Sementara itu, Hassan memberitahu, pihaknya telah membawa perkara tersebut ke peringkat kerajaan negeri sejak beberapa bulan lalu, namun tiada tindakan yang telah diambil setakat ini.

“Berlaku pertikaian berhubung penyeliaan pintu air tersebut, sama ada ianya dibawah bidang kuasa Majlis Bandaraya Johor Bahru, Jabatan Pengairan dan Saliran atau Jabatan Kerja Raya.

“Apa yang saya lihat karenah birokrasi antara punca masalah ini masih belum dapat diselesaikan sehingga kini,” ujarnya.

Beliau bagaimanapun berharap langkah membaikpulih pintu air itu dapat dilakukan segera bagi memastikan kesejahteraan rakyat khususnya penduduk kampung terbabit dibela.

JohorKini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top