BM | EN | 中文

Penduduk harap lif di Blok D Pangsapuri Desa Dato’ Hajah Hasanah dibaiki segera

lif.jpg

Dua lif yang rosak sejak seminggu lalu di Blok D, Pangsapuri Dato' Desa Hajah Hasanah.

JOHOR BAHRU, 21 JAN: Penduduk Blok D, Pangsapuri Desa Dato’ Hajah Hasanah, di sini berharap masalah kerosakan lif yang ‘menghantui’ mereka sejak seminggu lalu dapat diselesaikan dengan segera.

Salah seorang penduduk, Nurul Ashikin Ismail, 38, memberitahu, dia berhadapan kesukaran dalam aktiviti hariannya kerana masalah kerosakan lif yang berlaku.

Nurul Ashikin Ismail

Katanya, kesukaran itu dihadapi ekoran keluarga menetap di tingkat lapan blok berkenaan.

“Kedua-dua lif yang ada di blok ini rosak sejak seminggu lalu. Saya yang tinggal tingkat lapan berdepan banyak kesukaran dalam menguruskan urusan harian, termasuk persekolahan anak-anak.

“Kadang kala kerana kepenatan, saya hanya menyalin pakaian anak untuk ke sekolah agama di surau sahaja dan tidak naik semula ke rumah di tingkat lapan,” katanya.

Seorang lagi penduduk yang ditemui, Muhammad Sahil Shauki Mohd Sharul Izwan, 10, pula memberitahu, dia berasa kesian dengan golongan berusia dan orang kurang upaya (OKU) yang terpaksa berdepan kesukaran itu.

“Saya sendiri rasa penat untuk menaiki tangga apabila lif rosak. Kesian dengan orang tua yang perlu naik dan turun menggunakan tangga.

“Saya pernah lihat seorang warga tua dipapah oleh anak-anaknya untuk naik ke rumah mereka di tingkat tiga,” ujarnya yang meluahkan perasaan kasihan dengan situasi berkenaan.

Muhammad Sahil Shauki Mohd Sharul Izwan

Sementara itu, Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir pula memberitahu, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan pemaju untuk memastikan lif berkenaan dapat diperbaiki dengan segera.

“Setelah mengadakan perbincangan dengan pemaju, persetujuan telah dicapai untuk memastikan lif yang rosak dapat kembali beroperasi dalam tempoh seminggu.

“Namun penduduk juga mempunyai tanggungjawab untuk memastikan mereka membayar wang penyenggaraan bagi memastikan sebarang kerosakan di pangsapuri ini dapat diatasi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa melakukan lawatan mengejut ke pangsapuri berkenaan, di sini hari ini.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top