BM | EN | 中文

Pendaftaran secara fizikal pelajar IPT kemasukan Oktober ditangguh

Universiti-Tun-Hussein-Onn-Malaysia-UTHM.jpeg

Gambar Hiasan

Advertisement

PUTRAJAYA, 2 OKT: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menangguhkan pendaftaran secara fizikal dan bersemuka pelajar institusi pendidikan tinggi (IPT) bagi kemasukan Oktober 2020 dan pelajar lama kembali ke kampus susulan kebimbangan terhadap peningkatan kes COVID-19.

Menurut kementerian itu semua urusan pendaftaran pelajar serta aspek pengajaran dan pembelajaran boleh dilaksanakan secara dalam talian hingga pengumuman baharu mengenainya dibuat.

“Keputusan menangguhkan pendaftaran secara fizikal atau bersemuka pelajar-pelajar yang terlibat perlu dibuat demi memelihara kesejahteraan dan keselamatan semua pihak.

Advertisement

“Bagi pelajar yang telah berada di kampus dan sedang mengikuti aktiviti akademik, mereka boleh kekal berada di kampus masing-masing. Pihak IPT diminta membantu segala keperluan yang diperlukan oleh kumpulan pelajar ini,” kata KPT dalam kenyataan hari ini.

KPT berkata sebarang pertanyaan berkaitan pergerakan balik ke kampus serta sesi pengajaran dan pembelajaran boleh dirujuk terus kepada IPT masing-masing.

“KPT juga mencadangkan kepada semua IPT supaya menangguhkan semua program atau aktiviti yang melibatkan himpunan di dalam kampus,” demikian menurut kenyataan itu.

Advertisement

KPT juga telah berunding dengan syarikat penerbangan bagi memohon pertimbangan penjadualan semula penerbangan pelajar pulang ke kampus khususnya bagi mereka yang telah membeli tiket penerbangan ke IPT masing-masing.

KPT memaklumkan bahawa syarikat penerbangan bersetuju menjadualkan semula penerbangan pelajar IPT sehingga 31 Dis 2020.

“KPT prihatin dengan pandangan pelbagai pihak serta kebimbangan yang disuarakan pelajar, ibu bapa dan masyarakat berikutan peningkatan kes COVID-19 yang berlaku hanya selang beberapa hari sahaja dari tarikh kemasukan pelajar baharu ke universiti. Justeru, KPT mengambil langkah proaktif berunding dengan syarikat penerbangan,” menurut kementerian itu.

Advertisement

Pada 27 Sept lepas, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad dilaporkan mencadangkan IPT menangguhkan pendaftaran kemasukan pelajar baharu dan lama dari kawasan zon merah secara bersemuka.

Noraini mahu proses pendaftaran dan pembelajaran bagi kumpulan pelajar terbabit dilakukan secara dalam talian.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top