BM | EN | 中文

Pendaftaran parti: Mahkamah benarkan Muda cabar tindakan menteri, ROS

MUDA.jpg
Advertisement

KUALA LUMPUR, 25 MEI: Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta 12 individu hari ini memperoleh kebenaran Mahkamah Tinggi bagi memulakan tindakan undang-undang berhubung pendaftaran Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) sebagai sebuah parti politik, selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak membantah permohonan tersebut.

Hakim Noorin Badaruddin membuat keputusan itu pada prosiding secara dalam talian hari ini.

Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly ketika dihubungi pemberita berkata mahkamah membuat keputusan itu selepas AGC tidak membantah permohonan MUDA dan menetapkan 8 Jun untuk pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Firdaus Sidqi Sharil Azli.

Advertisement

Peguam Lim Wei Jiet, yang mewakili kesemua pemohon turut mengesahkan perkara tersebut dan memaklumkan bahawa Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin masih belum membuat keputusan berhubung rayuan Muda untuk mendaftarkan parti berkenaan.

Pada 26 April lepas, Syed Saddiq yang merupakan pengasas parti itu serta 12 individu selaku pemohon memfailkan permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman untuk mencabar tindakan Menteri Dalam Negeri dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang belum membuat keputusan terhadap rayuan mereka untuk mendaftarkan Muda sebagai sebuah parti politik.

Mereka menamakan Menteri Dalam Negeri dan ROS sebagai responden pertama dan kedua.

Advertisement

Dalam permohonan itu, mereka memohon suatu perintah mandamus untuk responden pertama (Menteri Dalam Negeri) mencapai suatu keputusan di bawah Seksyen 18 Akta Pertubuhan 1966 berhubung rayuan pemohon terhadap keputusan ROS pada 6 Jan lepas yang menolak pendaftaran Muda sebagai pertubuhan di bawah kategori parti politik dalam tempoh tujuh hari dari tarikh perintah berkenaan.

Mereka juga memohon suatu perintah ganti rugi termasuk ganti rugi teruk dan teladan yang akan dinilai selain kebebasan untuk memohon serta segala relif, arahan dan perintah yang diperlukan sebagaimana difikirkan adil oleh mahkamah.

Pada 4 Feb lepas, Muda menghantar surat rayuan berhubung pendaftarannya sebagai sebuah parti politik kepada ROS dan Hamzah.

Advertisement

Permohonan pendaftaran parti itu dihantar pada September 2020 oleh Syed Saddiq yang merupakan bekas ketua Armada Bersatu, namun ditolak ROS pada Januari lepas.

Bernama

 

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top