JOHOR BAHRU, 6 MAC: Pencapaian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 Johor meningkat secara keseluruhan menjadikan negeri ini ketiga terbaik di Malaysia.
Menurut Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Johor Azman Adnan, Gred Purata Negeri (GPN) meningkat 0.13 iaitu 4.68 kepada 4.68 peratus mengatasi GPN Nasional sebanyak 4.90 mata.
“Peratus lulus bagi calon SPM 2019 yang layak menerima sijil telah meningkat 0.78 peratus daripada 85.6 peratus berbanding 86.43 peratus pada tahun 2018.
“Jumlah calon cemerlang semua A meningkat dari 16 kepada 56 orang dan jumlah calon memperoleh semua A+, A dan A- meningkat daripada 940 kepada 1083 orang,” katanya semasa sidang media keputusan SPM 2019 negeri Johor, semalam.
Sementara itu Azman memaklumkan, Sekolah Tun Fatimah (STF) Johor Bahru telah mendapat Gred Purata Sekolah (GPS) 0.78 dengan 26 orang pelajar cermelang mendapat gred A+ dan 100 orang pelajar memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran.
“Bagi calon berkeperluan khas (CBK) SPM 2019 pula, seramai 111 orang dari 142 orang calon layak dianugerahkan SPM 2019,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu kata beliau, jurang pencapaian murid bandar dan luar bandar semakin mengecil iaitu 0.17 membawa maksud kualiti pencapaian bandar dan luar bandar adalah sama.
“Tahniah kepada semua pengetua, guru, murid, ibu bapa, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) yang komited untuk bersama meningkatkan kualiti pendidikan anak-anak kita di negeri Johor.
“Terima kasih juga kepada kerajaan Johor yang banyak menyokong program pembangunan pendidikan di sekolah-sekolah Johor,” katanya lagi.
Johorkini