BM | EN | 中文

Penalti saat akhir bantu JDT raih tiga mata

Sepakan-penalti-saat-akhir-bantu-JDT-raih-tiga-mata.jpg

Gambar Ehsan FB Johor Southern Tigers

Advertisement

KUALA LUMPUR, 5 MEI: Sepakan penalti Bergson da Silva pada masa kecederaan separuh masa kedua memastikan Johor Darul Ta’zim (JDT) mengatasi Kedah Darul Aman (KDA) FC 1-0 pada saingan Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar, malam ini.

Sepakan penalti diberikan pengadil Razlan Joffri Ali selepas pemain gantian pasukan pelawat Mohamadou Sumareh dijatuhkan pertahanan import KDA FC Renan Alves dalam kotak penalti tatkala satu mata hampir pasti diraih kedua-dua pasukan.

Bergson tenang menyempurnakan sepakan itu yang juga jaringan ke-10 peribadinya musim ini selepas penjaga gol Mohd Shahril Sa’ari yang bertindak cemerlang sepanjang 90 minit permainan tersalah jangkaan dalam usaha menyelamatkan sepakan tersebut.

Advertisement

Terdahulu, dalam aksi sengit kedua-dua pasukan, penyerang KDA FC Kpah Sherman berpeluang meledak gol pada minit ke-41, namun tandukan berpunca daripada sepakan percuma Rabith Ataya sekadar menggegar palang tatkala Mohd Farizal Marlias sudah pun tertewas.

Kemenangan tipis itu membolehkan JDT yang mengumpul 27 mata, melebarkan penguasaan di takhta liga dengan perbezaan tiga mata di hadapan Terengganu FC (TFC) yang menewaskan pasukan tercorot liga UiTM FC 3-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada satu lagi aksi.

Kejayaan itu menyaksikan skuad bimbingan Mohd Nafuzi Mohd Zain bangkit daripada kekalahan memalukan 1-4 kepada Penang FC minggu lalu sekali gus kembali merakam kemenangan untuk mencabar kejuaraan liga.

Advertisement

TFC memulakan aksi dengan sempurna apabila mendahului 2-0 seawal 10 minit pertama masing-masing menerusi David da Silva pada minit kelapan dan Muhammad Faisal Abdul pada minit ke-10 sebelum Rahmat Makasuf meledak gol ketiga pasukan tuan rumah pada minit ke-77.

Sementara itu, jaringan hatrik ketua pasukan Paulo Josue memastikan Kuala Lumpur (KL) City FC meleburkan rekod sembilan perlawanan tanpa kalah pendatang baharu Penang FC dengan kemenangan 3-1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras.

Hatrik import dari Brazil berusia 32 tahun itu bermula dengan sepakan percuma cantik pada minit ke-36 diikuti sepakan penalti pada minit ke-52 sebelum melengkapkan malam gemilang KL City FC menerusi rembatan deras kaki kanan pada minit ke-89.

Advertisement

Penang FC berusaha merapatkan kedudukan dengan gol Muhammad Dania! Ashraf Abdullah pada minit ke-64, namun is tidak memadai untuk menghalang KL City FC meraih tiga mata pertama dalam empat perlawanan terdahulu.

Kemenangan itu membolehkan KL City FC memintas Petaling Jaya (PJ) City FC di kedudukan keenam dengan mengumpul 16 mata sementara Penang FC jatuh ke tempat keempat dengan 22 mata.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top