BM | EN | 中文

Pemuda Umno syor BN dan PN tak tanding PRK Batu Sapi

asyraf-wajdi-dusuki.jpg
Advertisement

KUALA LUMPUR, 7 OKT: Susulan gelombang baru Covid-19 yang melanda negara, Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki mencadangkan supaya BN dan Perikatan Nasional tidak bertanding di pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi.

Katanya, ia mengambil kira kegawatan penularan pandemik Covid-19 yang makin meluas di negeri Sabah hingga boleh mencetuskan risiko keselamatan kepada rakyat.

“Cadangan yang sama juga disyorkan kepada semua parti politik lain termasuk Perikatan Nasional bagi mengekalkan status quo kedudukan parlimen Batu Sapi di bawah Parti Warisan, menjelang PRK yang perlu diadakan dalam tempoh 60 hari mengikut Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan.

Advertisement

“Fokus ketika ini harus diberikan untuk membendung wabak virus Covid-19 daripada terus menular, di samping membantu rakyat menangani keperitan hidup yang terkesan dengan kegawatan ekonomi akibat pandemik yang tiada berkesudahan,” kata Asyraf lagi.

Beliau menambah sudah tiba masanya untuk ahli-ahli politik melangkaui sempadan parti dapat bersolidariti dan menzahirkan jiwa besar mengenepikan perbezaan dan persengketaan demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

Susulan kematian ahli parlimen Batu Sapi Liew Vui Keong pada 2 Oktober, ada pihak yang mencadangkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar tidak mengadakan pilihan raya kecil dalam waktu dekat memandangkan penularan wabak Covid-19 yang semakin buruk.

Advertisement

Namun, menurut pemimpin kanan SPR, menangguhkan pilihan raya melebihi 60 hari seperti yang diwajibkan oleh perlembagaan persekutuan tidak mungkin boleh dilakukan.

“Kita harus teruskannya,” kata Pengerusi SPR, Abdul Ghani Salleh, lapor media.

“Kita masih harus mengadakan pilihan raya walaupun semasa wabak,” katanya.

Advertisement

Menurut Ghani, SPR secara rasmi telah menerima notis mengenai kekosongan kerusi parlimen Batu Sapi semalam, dan suruhanjaya itu akan bermesyuarat minggu depan untuk membincangkan mengenai pilihan raya tersebut.

Timbalan Pengerusi SPR, Azmi Sharom juga memberikan jawapan sama. Katanya, mereka tidak mempunyai pilihan lain.

“Kami tidak ada pilihan. Jadi satu-satunya cara adalah dengan memastikan prosedur operasi standard yang lebih ketat,” katanya dalam satu mesej teks ringkas.

Advertisement

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top