PEMUDA PH GERAKAN SKUAD GEMPUR HADAPI PRK
Taqiuddin

PEMUDA PH GERAKAN SKUAD GEMPUR HADAPI PRK

PONTIAN, 1 NOV : Pemuda Pakatan Harapan (PH) Johor hari ini mengumumkan akan menggerakkan ‘Skuad Gempur’ untuk jentera pemuda bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

Menurut Ketua Pemudanya, Muhammad Taqiuddin Cheman, skuad tersebut akan bersama dengan pasukan culaan untuk turun berkempen bersama.

Katanya lagi, selain menjalankan aktiviti anak muda seperti konvoi, skuad tersebut juga akan menjadi agen menyampaikan penerangan kepada para pengundi di Tanjung Piai.

“Banyak pencapaian kerajaan di bawah pemerintahan PH yang perlu disampaikan kepada penduduk atau pengundi di sini. Justeru itu, Skuad Gempur ditugaskan untuk menyampaikan perkara tersebut.

“Kita telah memastikan pemuda di kesemua Pusat Daerah Mengundi (PDM) telah bergerak dan melakukan kerja mereka dan sehingga hari ini ia mencapai tahap yang memuaskan.

“Sehubungan itu calon yang PH ketengahkan adalah individu yang mudah mendekati anak muda serta mesra kepada orang ramai,” ujarnya ketika di majlis Pelancaran Jentera Pemuda PH dan Sukarelawan P165 Tanjung Piai, di sini, hari ini.

Menurut beliau lagi calon PH, Karmaine Sardini boleh digambarkan sebagai calon yang mampu membawa suara anak muda dari segi perjuangan menyediakan infrastruktur kelengkapan kepada anak muda di parlimen ini.

Serudin

Dalam pada itu, menurut Timbalan Pengarah Pemuda Parti Amanah PRK Tanjung Piai, Serudin Md Soud, pemuda PH hari ini tidak bergerak secara kepartian mereka akan bergerak secara satu hati di bawah logo PH.

“Untuk jadual awal gerak kerja kita adalah membuat tayang skrin gergasi yang akan mengumpulkan anak muda di seluruh Tanjung Piai.

“Dalam rekod yang diterima, anak muda hari ini menerima serta menyambut baik calon PH dan ini menandakan bahawa PH masih diterima baik oleh anak muda.

“Antara program lain adalah kempen mengajak pengundi untuk pulang mengundi di Tanjung Piai pada 16 November 2019,” katanya lagi.

JohorKini

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )