BM | EN | 中文

Pemuda AMANAH Johor sedia bantu anak muda terlibat insiden kain rentang Parit Raja

parit-raja-kerajaan-gagal.png
Advertisement

BATU PAHAT, 15 MEI: Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor hari ini menyifatkan apa yang berlaku dalam insiden Parit Raja baru-baru ini adalah petanda amarah anak muda akibat kegagalan kerajaan menjaga kepentingan mereka.

Ketuanya, Taqiuddin Cheman berkata, yang terlibat dan ditahan oleh polis adalah merupakan segolongan anak muda berumur 16 tahun hingga 28 tahun yang bertindak atas kesedaran sendiri tanpa desakan mahupun kepentingan mana-mana pihak.

Taqiuddin Cheman

Pemuda AMANAH Johor dalam pada itu katanya, yakin ini merupakan manifestasi rakyat terutamanya anak muda yang sudah marah akibat tindakan kerajaan yang gagal mengambil berat kebajikan rakyat dengan SOP dan Perintah-Perintah Kawalan Pergerakan yang caca merba dan tidak jelas.

Advertisement

“Jelas rakyat sudah amat tertekan dan terdesak,” katanya merujuk kepada tindakan polis menahan 20 anak muda yang terlibat dengan insiden membakar suar dan menaikkan sepanduk Kerajaan Gagal di Parit Raja di malam Aidil Fitri.

Pemuda AMANAH Negeri Johor, katanya, juga yakin perkara sebegini dapat dielakkan sekiranya kerajaan pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga ADUN Gambir membuka Parlimen dan Dewan Undangan Negeri supaya isu rakyat dibincangkan dan diselesaikan bersama oleh kerajaan dan pembangkang dengan lebih tuntas dan berkesan.

“Justeru, Pemuda AMANAH Negeri Johor menegaskan dan mendesak supaya darurat ditamatkan dan Parlimen serta Dewan Undangan Negeri dibuka segera sebelum sebarang insiden seperti ini berulang mahupun sebarang insiden yang lebih teruk lagi berlaku,” katanya.

Advertisement

Sebagai tanda solidariti anak muda, Pemuda AMANAH Negeri Johor juga menyediakan khidmat guaman melalui Biro Undang-Undang Parti AMANAH Negara (KANUN) kepada anak muda yang terdesak dan tertekan ini.

Johorkini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top