BM | EN | 中文

PEMINAT MUDA DUNIA PENERBANGAN TERUJA SERTAI SENAI AIRPORT AERO CAMP 2019

senai-airport-aero-camp-2019.jpg
Advertisement

SENAI, 2 OKT : Seramai 110  pelajar dari 16 buah sekolah sekitar Johor mendapat suntikan semangat baru selepas menyertai program pendidikan bertemakan industri penerbangan, Senai Airport Aero Camp 2019.

Program yang buat julung kalinya diadakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), di sini, baru-baru ini dirasmikan oleh Adun Senai, Tee Boon Tsong.

Ia dianjurkan oleh Senai Airport Terminal Services Sdn Bhd dan Kelab Remaja Udara Malaysia (KRUM) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Asia Aeronautical Training Academy (AATA) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia dan Elite Flying Club.

Advertisement

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Senai Airport Terminal Services Sdn Bhd, Md Derick Basir, kem ini bertujuan meningkatkan kesedaran para pelajar terhadap peluang pekerjaan yang wujud dalam industri aeroangkasa, di samping menggalakkan anak-anak muda untuk mencapai impian mereka.

“Program ini juga direka untuk memberi pendedahan kepada para pelajar tentang kepelbagaian profesion dalam dunia penerbangan.

“Ini termasuklah dalam bidang operasi lapangan terbang, perkhidmatan pengendalian darat, keselamatan penerbangan, penyelenggaraan dan kejuruteraan, pembangunan perniagaan dan lain-lain.

Advertisement

Teruja..pelajar berpeluang mempelajari pelbagai perkara dalam Senai Airport Aero Camp 2019.

“Semasa kem ini, para pelajar yang berumur diantara 12 hingga 17 tahun didedahkan dengan sesi perkongsian kerjaya oleh LTAS dan AATA sebelum mereka dibawa untuk melawat sekitar kawasan lapangan terbang untuk mempelajari fungsi dan operasinya,” katanya.

Tambah Md Derick lagi, dalam kem ini juga, para pelajar juga telah mendapat peluang untuk cuba menerbangkan pesawat menggunakan sistem simulasi penerbangan di fasiliti AATA di samping dapat berinteraksi secara langsung dengan juruterbang dan pesawat.

“Sektor penerbangan adalah industri yang sentiasa berkembang dengan jangkaan permintaan perjalanan udara yang lebih tinggi pada masa akan datang.

Advertisement

“Ini bermaksudsemakin banyak peluang pekerjaan akan tercipta untuk diisi oleh anak-anak tempatan.

“Justeru, kami ingin menerapkan minat dan mempersiapkan generasi muda kita dengan pengetahuan supaya mereka boleh merangka perjalanan kerjaya mereka dari awal lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Batu, Mohd Azam Shuib berkata, program ini telah mengubah persepsi ini melalui penerangan lanjut yang telah diberikan mencakupi pelbagai peluang pekerjaan yang tersedia.

Advertisement

“Peluang itu bukan sahaja oleh syarikat penerbangan malah di lapangan terbang untuk pelbagai latar belakang pendidikan.

“Perkara ini semestinya telah membuka mata dan memberikan inspirasi untuk para pelajar,” katanya

Johorkini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top