BM | EN | 中文

Pemimpin tunjuk contoh tidak baik punca rakyat belakangkan PKP

zuhan.png
Advertisement

JOHOR BAHRU, 18 APR: Contoh yang tidak baik ditunjukkan oleh pemimpin dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjadi punca rakyat melanggar perintah tersebut.

Perkara itu dijelaskan oleh Pemikir Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain bahawa pemimpin kerajaan seharusnya menunjukkan contoh yang terbaik untuk menjadi ikutan rakyat.

Katanya, terdapat beberapa pemimpin sebelum ini yang bertindak membelakangkan arahan penjarakan sosial, aktiviti berkumpul beramai-ramai serta ketidaksempurnaan pemakaian keselamatan.

Advertisement

“Dapat diperlihatkan bagaimana golongan pemimpin melakukan aktiviti yang membelakangkan arahan PKP ini. Ia akan menjadi ikutan rakyat.

“Hari ini kita semua tahu, media sosial sudah menjadi tontonan utama, namun ada pemimpin yang tanpa segan silu mempamerkan tindakan yang jelas membelakangkan arahan PKP.

“Seharusnya pemimpin perlu menunjukkan contoh yang terbaik dalam mengendalikan akhlak mereka berdepan arahan PKP ini, bukan sebaliknya,” katanya ketika dihubungi.

Advertisement

Menurut beliau lagi, terdapat gambar di mana pemimpin tertinggi di Malaysia yang membeli-belah di sebuah pasaraya bersama isteri dan perkara itu jelas melanggar arahan kerajaan.

Selain itu menurutnya lagi, kerajaan sendiri seperti keliru dalam membuat keputusan berkenaan dengan pengoperasian permis-permis yang dibenarkan oleh pihak mereka.

“Ada pemimpin yang pada masa inilah hendak membuat perasmian sehingga ada sesi memotong reben, ada juga pemimpin yang berkata hanya ketua keluarga sahaja yang dibenarkan pergi ke pasaraya sedangkan beliau sendiri tidak mematuhinya.

Advertisement

“Terdapat juga kekeliruan dalam memberi arahan kepada permis-permis yang boleh beroperasi namun selepas mendapat kecaman ianya ditarik balik.

“Perkara ini semua jelas menunjukkan bahawa pemimpin tidak konkrit dalam menggalakkan rakyat untuk duduk di rumah.

“Tindakan pemimpin ini mencerminkan sebuah pemerintahan yang akan dianggap pincang oleh rakyat sekaligus menjadikan rakyat muak mendengar arahan yang pemimpin itu sendiri melanggarnya,” katanya lagi.

Advertisement

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top