BM | EN | 中文

Pemilik syarikat pertanian di Johor rugi RM357,000 penipuan pajakan tanah

Ladang-Tebu.jpg

Gambar Hiasan

JOHOR BAHRU, 26 OGOS: Seorang lelaki pemilik sebuah syarikat kegiatan pertanian di negeri ini terpaksa menanggung kerugian RM357,000 selepas menjadi mangsa penipuan pajakan tanah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Johor ACP Mohd Salleh Abdullah berkata mangsa, lelaki tempatan berumur lingkungan 50-an itu mendakwa, dia diperkenalkan kepada suspek, iaitu seorang pemilik tanah pertanian yang juga lelaki tempatan berumur lingkungan 50-an, oleh broker tanah.

Beliau berkata mangsa telah mula berurusan dengan suspek bagi tujuan pajakan tanah seluas 100 hektar untuk menjalankan projek penanaman tebu pada Disember 2019 dan kemudian menandatangani perjanjian pada Mac lepas.

“Sekitar tahun lepas, mangsa mencari tanah untuk dipajakkan bagi tujuan projek tanaman tebu dan kedua-duanya telah menandatangani perjanjian pajakan tanah, lalu mangsa menyerahkan bayaran sebanyak RM357,000.

“Namun, setelah membuat semakan dengan Kementerian Asas Tani, Bahagian Industri Tanaman, Ternakan dan Perikanan di Putrajaya, mangsa mendapati tanah berkenaan adalah milik persekutuan dan bukanlah milik suspek sepertimana yang didakwa,” katanya menerusi kenyataan di sini semalam.

Mohd Salleh berkata mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Ayer Hitam, dekat Batu Pahat, kelmarin dan kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana tipu.

Dalam kes berlainan, beliau berkata, seorang lelaki pesara kerajaan rugi sebanyak RM103,500 setelah menjadi mangsa penipuan ‘Love Scam’.

Katanya, lelaki berumur 60 tahun itu mendakwa mengenali suspek wanita yang kononnya merupakan warga British, menerusi laman Facebook.

“Suspek menawarkan hadiah berupa wang tunai Euro 56,000 (1 Euro = RM4.93) kepada mangsa sebagai tanda persahabatan dan mangsa kemudian dihubungi oleh ejen penghantaran kurier yang memintanya membuat bayaran cukai pendapatan berjumlah RM103,500 kerana bungkusan yang dihantar suspek mengandungi wang.

“Namun, mangsa menyedari telah ditipu lalu kemudian membuat laporan di Balai Polis Kota Tinggi, semalam,” katanya dengan menambah kes berkenaan turut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, Mohd Salleh menasihati orang ramai supaya tidak mudah mempercayai individu yang tidak dikenali dan segera menyemak dengan pihak polis sebelum melakukan sebarang transaksi yang meragukan.

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top