BM | EN | 中文

PEMBEBASAN ANGGOTA MILITAN WARGA MALAYSIA BELUM MUKTAMAD

muhyiddin-pontian-yazid-sufaat.jpg

(DIKEMASKINI)

PONTIAN, 19 OKT: Keputusan pembebasan seorang anggota militan warga Malaysia yang dikatakan memiliki kaitan dengan serangan September 11 di Amerika Syarikat (AS) masih belum dimuktamadkan, kata Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata beberapa prosedur akan dilakukan sebelum keputusan muktamad dilakukan atas pembebasan anggota bernama Yazid Sufaat itu.

“Lembaga Pencegahan Terorisme yang akan meneliti bagaimana kelakuan dia (Yazid) selama tempoh tahanannya iaitu dua tahun.

“Sama ada kelakuan dia dah bertambah baik ataupun tidak, itu akan diberitahu dan selepas itu barulah keputusan akan dibuat,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis Rela Pontian bersama pemimpin di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini.

Muhyiddin berkata pihaknya tidak akan membuat apa-apa keputusan sebelum lembaga, dimana dijangka bmembincangkan perkara berkenaan tidak lama lagi sebelum tempoh tahanan Yazid tamat.

Terdahulu dilaporkan Yazid, 55, ahli biokimia yang mendapat latihan di AS, mungkin dibebaskan daripada tahanan bulan depan, menurut laporan Singapore Straits Times.

Kata laporan itu, kemungkinan pembebasan beliau menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pegawai antiterorisme di negara ini.

Yazid yang disifatkan sebagai “teroris tegar” oleh akhbar tersebut kini ditahan di penjara Simpang Renggam, Johor selama dua tahun di bawah Akta Pencegahan Keganasan (POTA).

Akta berkenaan membenarkan suspek ditahan tanpa dibicarakan selama dua tahun.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top