PONTIAN, 16 OKT: Pembinaan infrastruktur dan kemudahan awam di luar bandar bukan sekadar bertujuan untuk membangunkan ekonomi masyarakat dan merapatkan hubungan.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, ia harus seiring pembangunan sahsiah bagi memacu pertumbuhan kampung-kampung sekaligus memberi manfaat jangka panjang.
“Kita ingin membangunkan masyarakat luar bandar, bukan sahaja infrastruktur fizikal tetapi juga ekonomi dan pembangunan modal insan supaya ianya seiring.
“Kita tak nak lagi menjelang 2030, apabila disebut luar bandar ia dikaitkan dengan kemiskinan,” kata beliau kepada pemberita selepas majlis penyerahan Geran MPKK Parlimen Tanjung Piai, di Kukup Golf Resort, di sini semalam.
Terdahulu Rina memaklumkan pembinaan jalan baharu sepanjang 12km menghubungkan Pekan Nanas dan Tanjung Piai yang dijangka siap pada hujung tahun ini atau awal tahun depan.
Katanya ia membabitkan kos sebanyak RM65 juta dan kini memasuki fasa kedua pembinaan.
Dalam pada itu kata Rina, kementeriannya turut menerima 264 permohonan pembinaan lampu jalan kampung di Tanjung Piai.
“Antara tempat yang dimohon itu berlakunya kemalangan. Itu akan diambil tindakan dengan segera.
“Disamping itu jalan-jalan perhubungan desa juga sedang kita laksanakan.
“Ada lima kawasan jalan perhubungan desa. Ada juga astaka dan jalan luar bandar,” katanya lagi.
Tambah beliau pelaksanaan projek-projek infrastruktur tersebut akan dilakukan secara berperingkat.
Johorkini