BM | EN | 中文

Pembangunan fizikal projek IMBRT bermula suku keempat 2021

Iskandar-Regional-Development-Authority-IRDA.jpg
Advertisement

JOHOR BAHRU, 2 FEB: Pembangunan fizikal projek Transit Rapid Bas Iskandar Malaysia (IMBRT) akan dimulakan pada suku keempat tahun ini selepas semua urusan termasuk reka bentuk dan juga proses pengambilan tanahnya, selesai.

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) Datuk Ismail Ibrahim berkata pada masa ini pihaknya masih dalam peringkat awal mengenai aspek reka bentuk serta pengambilan tanah untuk beberapa tapak terminal utama.

“Kita juga dalam proses mendapatkan kelulusan pihak berwajib untuk ke tapak dan seterusnya memulakan kerja-kerja terbabit.

Advertisement

“Dalam masa sama, kita akan memperkenalkan projek perintis selama tiga hingga empat bulan untuk memperkenalkan ciri-ciri futuristik IMBRT kepada umum selain memberi peluang pihak berwajib membuat penilaian terhadap kebolehlaksanaan projek ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas perkembangan projek itu pada sidang media sempena Majlis Pelancaran Kempen Komemoratif 15 Tahun Iskandar Malaysia secara maya, di sini semalam.

Majlis itu dirasmikan oleh Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad.

Advertisement

Mengulas selanjutnya, Ismail juga menyifatkan IMBRT sebagai projek yang akan mengubah landskap pengangkutan awam darat kerana mempunyai ciri-ciri inovatif termasuk penggunaan teknologi kenderaan pandu sendiri, bekalan tenaga elektrik serta reka bentuk bas yang futuristik.

Jelasnya lagi, aspek pemanduan tanpa pemandu kendalian sepenuhnya secara automatik juga adalah yang pertama seumpamanya di negara ini.

“Selain itu, IMBRT turut dijana oleh tenaga elektrik melalui penggunaan bateri yang boleh dicas di stesen-stesen yang ditetapkan.

Advertisement

“Reka bentuknya juga tidak seperti bas yang biasa kita lihat kerana lebih futuristik dan kerap digunakan di beberapa negara maju khususnya di benua Eropah,” katanya.

Ismail juga menjangkakan pengangkutan itu mampu membawa sehingga 300 penumpang pada satu-satu masa berbanding hanya 40 orang menerusi bas biasa.

Menurutnya, pelaksanaan projek itu tidak terjejas walaupun kerajaan menguatkuasakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) bagi mengekang penularan pandemik COVID-19 ketika ini.

Advertisement

“Projek IMBRT merupakan satu projek infrastuktur yang dibiaya oleh dana awam dan membolehkannya mendapat kebenaran untuk diteruskan tetapi masih tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara.

“Selain itu, beberapa projek IRDA turut dibenarkan pelaksanaannya seperti projek landskap Sungai Segget, Persimpangan Bertingkat Kempas dan Lebuhraya Tanjung Piai dengan pembinaannya mengikut arahan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top