JOHOR BAHRU, 28 NOV: Pembangunan Bandar Koperasi (Co-op City) Bandar Penawar Kota Tinggi dijangka akan bermula semula pada akhir tahun ini.
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata kerja pembangunan projek tersebut tergendala berikutan daripada beberapa isu yang berbangkit termasuklah penyelesaian premium tanah di situ.
“Kajian perancangan pembangunan untuk projek ini akan dilaksanakan terutamanya tentang isu premium tanah yang kita belum pasti berapa kenaikkan nya buat masa ini.
“Selepas isu ini dapat di selesaikan, kerja-kerja pembangunan akan disambung semula dan dijangka projek ini akan selesai sepenuhnya paling awal tahun 2021,” katanya pada sidang media, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Karnival Produk dan Perkhidmatan Koperasi Malaysia (MACCOPS) 2019 yang dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini.
Pada program tersebut, pertukaran Dokumen Memorandum Persefahaman turut diadakan di antara Angkasa dan Indian Farmers Fertiliser Cooperative Limited (Ifcco) dalam kerjasama bidang pertanian terutamanya pembangunan dan pemindahan teknologi pertanian serta meluaskan rangkaian pemasaran sektor Pertanian di antara koperasi.
Turut berlangsung pertukaran Dokumen Perjanjian di antara Koperasi Pribumi Bersatu Malaysia Berhad (KOBEST) dan RedONE Network Sdn Bhd bagi melahirkan 10,000 usahawan menjelang tahun 2021.
Pembangunan projek Co-op City melibatkan 640 unit hartanah komersial dan kediaman di atas tanah koperasi dimana sasaran pembeli adalah ahli koperasi serta pembiayaan merupakan sumber dalam koperasi.
Premium tanah akan di bayar oleh Koperasi Pengerang Kota Tinggi Bhd (Kopeti) dimana Angkasa sebagai rakang kongsi strategik untuk membantu Kopeti dalam projek tersebut.
JohorKini