MUAR, 24 OGOS: Parti pembangkang digesa menubuhkan Majlis Pemulihan Negara (MPN) alternatif bagi mengimbangi pelbagai kemungkinan yang berlaku terhadap MPN yang akan ditubuhkan kerajaan.
Pengarah Komunikasi dan Multimedia Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor, Noor Khalim Sakib berkata, penubuhan MPN alternatif penting bagi kaedah semak dan imbang.
Kata Khalim, tawaran Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersifat retorik dan tidak menunjukkan kesungguhan.
“Wujudkan MPN alternatif kerana sebelum ini pembangkang mewujudkan belanjawan alternatif sebagai langkah semak dan imbang yang berkesan.
“MPN alternatif tersebut boleh mempelawa pemikir serta pakar untuk turut serta membincangkan kaedah mendepani wabak Covid serta cabaran memulihkan negara.
“Hal ini dapat diperjuangkan secara bersasar oleh pembangkang ketika di Dewan Rakyat atau sepanjang pemulihan ini berlangsung,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, pengalaman memerintah selama 22 bulan boleh dizahirkan dengan kewujudan MPN alternatif tersebut.
Ujarnya lagi, ia dapat membantu pemahaman rakyat mengenai hak mereka dalam melibatkan diri ketika pemulihan negara ini dijalankan.
“Pengalaman ketika meneraju negara sepanjang 22 bulan sebelum ini dapat digunakan dalam MPN alternatif ini.
“Selain itu penerangan secara berterusan juga perlu diuruskan dengan baik kepada rakyat agar dapat melibatkan diri mempertahankan hak mereka ketika proses pemulihan itu nanti.
“Secara langsung MPN alternatif dapat memberikan nama baik kepada pembangkang untuk terus dilihat wira dalam memperjuangkan nasib negara dan rakyat,” katanya lagi.
Johorkini