Oleh: Nur Fatin Mohmad Kadenen
JOHOR BAHRU, 25 NOV: Pemandu teksi di bandar raya ini yang terjejas teruk berikutan pandemik COVID-19, berharap agar mereka memperoleh insentif daripada Belanjawan Johor 2021, yang dilihat mampu meringkankan beban yang dihadapi kini.
Ahli Persatuan Kebajikan Pemandu dan Tuan-Tuan Punya Kereta Sewa Felda Ulu Tebrau Ahmad Darose berkata kerajaan negeri juga diharapkan dapat membawa berita baik untuk belanjawan kali ini seperti membantu membayar sewa kereta bagi mengurangkan beban mereka.
Warga emas berusia 63 tahun itu mengakui sukar baginya memperoleh pendapatan harian kini kerana kekurangan penumpang dan terpaksa membayar sewa kereta RM30 sehari.
“Kalau kerajaan mahu bantu kami bayar sewa kereta pun sudah memadai sebab seperti saya sendiri pun pakai kereta sewa (teksi yang disewa). Kalau ikutkan pendapatan memang tidak ada… sewa kereta RM30 sehari, kalau pendapatan sehari RM50…bayar sewa, minyak lagi…memang tidak ada apalah,” katanya, lapor Bernama.
Bapa kepada enam orang anak yang baru setahun lepas bekerja sebagai pemandu teksi itu berkata demikian ketika ditemui di Stesen Bas dan Teksi Ulu Tiram, di sini, baru-baru ini.
Sementara itu, seorang lagi pemandu teksi Viran Moideen berkata kerajaan negeri perlu memikirkan bantuan jangka panjang kerana gusar pemandu teksi tidak lagi mampu untuk terus bertahan.
“Hendak dapat penumpang seorang sehari sahaja pun susah, ada yang tunggu dari pukul 7.00 pagi sampai tengah hari, langsung tiada penumpang.
“Dapat RM30 sehari pun kadang-kadang sahaja dapat, belum lagi duit minyak, kos maintenance kereta pula tinggi dan lain-lain…pendapatan memang makin merosot. Saya harap kerajaan negeri untuk belanjawan nanti fikir-fikirkanlah orang bawahan,” kata bapa kepada 10 orang anak itu.
Viran yang telah menjadi pemandu teksi sejak 40 tahun lepas menambah, pemandu teksi sudah lama terkesan semenjak wujudnya pemandu e-hailing.
Justeru itu dia berharap kerajaan negeri dapat memikirkan satu jalan penyelesaian yang terbaik bagi menyelamatkan periuk nasi pemandu teksi di negeri ini.
Belanjawan Johor 2021 akan dibentangkan oleh Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad pada 26 Nov ini.
Johorkini