BM | EN | 中文

Pemandu lori hantar sayur ke Singapura tak sama isu menteri balik dari luar negara

Muhamad-Taqiuddin.jpg

PONTIAN, 24 OGOS: Pandangan Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa pemandu lori yang berulang alik menghantar sayur ke Singapura tidak perlu kuarantin diri, merupakan kenyataan naif.

Tuan Ibrahim berkata demikian dalam satu kuliah subuh yang disiarkan secara langsung di laman Facebooknya semalam.

Ia dilihat bagi mempertahankan tindakan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dr Khairuddin Aman Razali yang gagal menjalani kuarantin kendiri selepas pulang dari Turki.

Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Muhamad Taqiuddin Cheman ketika mengulas perkara itu berkata, pandangan Tuan Ibrahim itu tidak langsung membumi dan dilihat cuba menyelamatkan rakannya Khairuddin.

Taqiuddin berkata, Tuan Ibrahim perlu menyemak nasib warga Malaysia yang berkerja di seberang tambak sebelum mengeluarkan kenyataan sedemikian.

“Beliau perlu menjaga sensitiviti rakyat kita yang masih ada di Singapura sebelum mengeluarkan kenyataan membela Khairuddin.

“Beliau hanya mempamerkan ketidaktahuan maklumat berkenaan isu semasa.

“Adakah beliau maklum masih ada ratusan ribu pekerja negara kita berada di Singapura dan hampir enam bulan tidak dapat balik untuk bertemu keluarga mereka?

“Ternyata Tuan Ibrahim tidak peka atau naif dalam masalah itu,” kata Taqiuddin ketika dihubungi.

Dr Khairuddin Aman Razali

Beliau yang juga Adun Pulai Sebatang berkata situasi penghantar sayur dan lawatan Khairuddin jauh berbeza.

Malah katanya, Tuan Ibrahim perlu menyemak sama ada tuduhannya itu berasas atau tidak, dan sekiranya perkara seperti itu berlaku, kerajaan perlu mengambilkira soal kuarantin pekerja yang menghantar sayur berkenaan.

“Ia memang berbeza. Penghantar sayur boleh dikawal berbanding dengan lawatan ke negara Turki yang kita belum maklum akan pertemuan dengan siapa dan pihak mana.

“Selain itu Tuan Ibrahim itu boleh dikategorikan menidakkan SOP yang ditetapkan.

“Sebelum ini warga yang memakai gelang merah jambu itu juga boleh menidakkan hukuman ke atas dirinya melalui alasan yang diberikan Tuan Ibrahim.

“Saya nasihatkan Tuan Ibrahim menarik semula kenyataannya agar ia tidak menjadi suatu alasan untuk rakyat di Malaysia melanggar SOP yang ditetapkan dalam usaha mengekang penularan Covid-19,” ujarnya lagi.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top