BM | EN | 中文

Pemandu lori bawa muatan batu cuba lari di lebuhraya EDL diberkas polis

Pemandu-lori-bawa-muatan-batu-cuba-lari-diberkas-polis-EDL.jpg

Gambar Ehsan rakyat.my

Advertisement

JOHOR BAHRU, 18 DIS: Seorang pemandu lori treler yang membawa muatan batu disyaki melebihi had serta mempunyai sembilan rekod saman kesalahan trafik, ditahan selepas cuba melarikan diri dalam Operasi Perdagangan (Timbang Berat) di Km 7 Lebuh Raya EDL di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Mohd Padzli Mohd Zain berkata sepasukan polis daripada Jabatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor juga terpaksa melepaskan dua das tembakan ke arah tayar lori terbabit dalam kejadian pada 7.45 pagi itu.

Katanya, tembakan dilepaskan selepas lelaki tempatan berumur 31 tahun itu tidak menghiraukan siren amaran, arahan daripada pembesar suara serta nyalaan lampu biru daripada anggota trafik dan terus memecut laju menuju lorong masuk Bangunan Sultan Iskandar (BSI).

Advertisement

Menurutnya, suspek juga bertindak berani dengan menghimpit kereta polis ketika dikejar selain memandu secara berbahaya dengan pemanduan secara zig-zag.

“Polis terpaksa melepaskan dua das tembakan ke arah tayar bagi mengelakkan kejadian lebih buruk berlaku kepada pengguna jalan raya yang lain.

“Suspek berhenti selepas tayar pecah lalu cuba melarikan diri kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian tetapi berjaya ditangkap,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Advertisement

Beliau berkata suspek juga didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati punca kejadian adalah kerana suspek tidak mahu ditahan berikutan membawa muatan melebihi had dan lesen GDL, lesen kenderaan barangan telah tamat tempoh.

Mohd Padzli berkata suspek ditahan reman selama enam hari bermula hari ini dan disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, Seksyen 45 APJ 1987, Seksyen 57 (3) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Advertisement

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top