BM | EN | 中文

Pemandu e-panggilan hadapi 40 pertuduhan menipu babit RM2.4 juta

Mahkamah_Johor_Bahru.jpg

Gambar Hiasan

Advertisement

JOHOR BAHRU, 3 SEPT: Seorang pemandu e-panggilan didakwa di Mahkamah Majistret di sini semalam atas 40 pertuduhan menipu dalam urusan jual beli tanah di Forest City, dekat Iskandar Puteri, melibatkan lebih RM2.4 juta tahun lepas.

Noridah Abd Aziz, 39, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret R. Salini.

Noridah didakwa menipu pemilik kedai motosikal, P Krishnan sehingga mempercayai bahawa dia bersama seorang individu lain yang masih bebas, mengendalikan urusan jual beli tanah di Forest City bagi pihak mangsa.

Advertisement

Perbuatannya itu telah mendorong mangsa menyerahkan wang tunai berjumlah RM2.483 juta ke dalam akaun bank tertuduh menerusi beberapa transaksi di sekitar Johor Bahru antara Mac hingga Julai tahun lepas.

Noridah dituduh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Chan Choon Yew manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Advertisement

Terdahulu, Chan tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh, namun berkata sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara untuk membenarkan diikat jamin, pihaknya menawarkan RM20,000 bagi setiap pertuduhan.

Salini kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 untuk setiap pertuduhan dengan nilai keseluruhan jaminan RM200,000 dan seorang penjamin selain menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri di balai polis berhampiran tempat tinggal sebulan sekali.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes berkenaan pada 13 Oktober ini bagi penyerahan dokumen.

Advertisement

Bernama

 

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top