BM | EN | 中文

Pemancing hilang selepas terjun ke laut dekat Pasir Gudang ditemukan lemas

Pemancing-hilang-selepas-terjun-ke-laut-ditemukan-lemas-Pasir-Gudang.png
Advertisement

JOHOR BAHRU, 17 DIS: Seorang pemancing yang dilaporkan hilang semalam selepas terjun ke dalam laut untuk menarik botnya yang hanyut akibat dibawa arus ditemukan lemas di Kampung Tanjung Langsat, Pasir Gudang di sini semalam.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang TPgB II Ibrahim Omar berkata mayat Fazuadin Azuardi Ismadi, 33, ditemukan orang awam pada 1 tengah hari kira-kira dua kilometer dari lokasi terakhir mangsa dilaporkan terjatuh.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Pembantu Perubatan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dan telah diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” menurutnya dalam kenyataan semalam.

Advertisement

Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat mangsa sebelum itu dilakukan dengan kaedah ‘surface searching’ atau pencarian di permukaan air menggunakan sebuah bot di kawasan seluas satu kilometer.

Katanya operasi itu dijalankan oleh Unit Pasukan Penyelamat di Air Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dengan bantuan Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia serta KKM.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Seri Alam DSP Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani ketika dihubungi mengesahkan penemuan mangsa dan memaklumkan jenazahnya telah dibawa ke Hospital Sultan Ismail Johor Bahru untuk bedah siasat.

Advertisement

Dalam insiden itu, mangsa keluar memancing bersama rakannya semalam di sebuah rumah rakit dan dilaporkan terjun ke laut untuk menyelamatkan botnya yang hanyut selepas tali bot terlucut dari rumah rakit tersebut.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top