BM | EN | 中文

PEMAJU HARTANAH JALIN KERJASAMA BAGI KEPENTINGAN KITAR SEMULA 

IMG-20190929-WA0000.jpg
Advertisement

JOHOR BAHRU, 29 SEPT: Pemaju hartanah UMLand Seri Austin menjalin kerjasama strategik bersama SWM Environment Sdn Bhd dalam usaha membudayakan amalan kitar semula.

Kerjasama yang dijalankan bersama anak syarikat United Malayan Land Berhad (UMLand) bertujuan memperluas lagi jaringan inisiatif kitar semula.

Ia sekaligus mendidik penduduk setempat untuk melaksanakan pengasingan sisa pepejal domestik di kediaman masing-masing.

Advertisement

Menurut Pengarah Kumpulan Perbandaran UMLand, Wong Kuen Kong, program yang dikenali sebagai KITAR3cycle itu menepati aspirasi menjadikan Seri Austin sebagai sebuah Bandar Pintar dan Sihat (Smart and Healthy City).

“Seri Austin dianugerahkan ‘Smart and Healthy City’ oleh Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) pada tahun 2014,” katanya pada majlis pelancaran yang dirasmikan oleh Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong, semalam.

Program yang diadakan di Taman Seri Austin, di sini itu turut menyaksikan beberapa pameran barangan kitar semula serta penglibatan beberapa orang murid dari enam buah sekolah berhampiran.

Advertisement

Sementara itu, Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, kerjasama strategik antara pihaknya dan pemaju hartanah itu juga merupakan salah satu usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.

“Usaha pihak SWM Environment membentuk kesedaran kitar semula menerusi program ini dilihat selaras dengan usaha Seri Austin untuk kekal sebagai sebuah perbandaran mesra alam sekitar,” katanya lagi.

Pada majlis berkenaan, Mohd Norlisam menyerahkan penempatan sangkar KITAR3cycle untuk galeri Seri Austin sebagai memudahkan penyertaan dan pengumpulan barangan kitar semula penduduk di situ.

Advertisement

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top