BM | EN | 中文

Pemain JDT, Cabrera dibenarkan keluar hospital

Cabrera-dibenar-keluar-hospital.jpeg

Gambar Ehsan FB Johor Southern Tigers

Advertisement

KUALA LUMPUR, 6 MEI: Kemenangan Johor Darul Ta’zim (JDT) ke atas Kedah Darul Aman (KDA) FC, kelmarin dibayangi dengan situasi menakutkan yang dialami penyerang skuad Harimau Selatan, Gonzalo Cabrera.

Berdasarkan insiden yang berlaku pada minit ke-56, keadaan cemas dapat disaksikan apabila penyerang itu didapati tidak sedarkan diri selepas bertembung dengan pertahanan KDA FC, Renan Alves.

Insiden itu tercetus apabila Alves cuba menghalang pergerakan Cabrera yang cuba memasuki kawasan penalti namun ‘rempuhannya’ mengakibatkan penyerang skuad Harimau Selatan itu terjatuh lalu terus rebah.

Advertisement

Keadaan itu memaksa pasukan perubatan dipanggil ke dalam padang untuk memberikan rawatan dan Cabrera diusung keluar susulan insiden terbabit sementara Alves dilayangkan kad kuning atas tindakannya itu.

Bagaimanapun, JDT mengesahkan Cabrera tidak terbabit dengan kecederaan serius susulan insiden itu namun akan tetap dipantau sebelum kembali dibenarkan menjalani latihan.

“JDT dengan sukacita ingin mengumumkan bahawa Gonzalo Cabrera sudah pulih dan dibenarkan keluar dari hospital selepas terbabit dalam perlanggaran sewaktu perlawanan bertemu KDA FC.

Advertisement

“Ujian perubatan awal mengesahkan bahawa Cabrera tidak mempunyai sebarang komplikasi. Beliau akan menjalani pemantauan lanjut selama beberapa hari ini sebelum dibenarkan kembali menjalani latihan,” menurut kenyataan pasukan itu.

Terdahulu, Berita Harian melaporkan, ini bukan kali pertama insiden pertembungan antara pemain berlaku dalam Liga Malaysia (Liga M) sehingga pemain tidak sedarkan diri di mana insiden sama pernah menimpa pemain tengah Sabah FC, Azzizan Nordin.

Pada aksi antara Selangor FC (SFC) menentang Sabah FC, Azzizan bertembung dengan Sharul Nazeem Zulpakar ketika cuba merebut bola di udara pada minit ke-43.

Advertisement

Insiden itu menyebabkan dia jatuh ke atas padang dan tidak sedarkan diri sebelum tindakan pantas Sharul yang mengeluarkan bola membolehkan Azzizan mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun, Azzizan dibenarkan kembali untuk bermain selepas mendapat rawatan pada perlawanan itu.

Johorkini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top