JOHOR BAHRU, 25 JAN: Jabatan Kesihatan Negeri Johor telah mengadakan pertemuan dengan penggiat industri pelancongan di negeri ini berhubung wabak coronavirus, baru-baru ini.
Exco Pelancongan, Pembangunan dan Masyarakat negeri, Liow Cai Tung berkata, pertemuan itu bertujuan untuk memberi taklimat dalam menghadapi kehadiran pelancong, khususnya dari China.
“Saya meminta pemain industri pelancongan khususnya pemandu pelancong untuk sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga.
“JKN Johor telah mengadakan pertemuan dan memberi taklimat kepada mereka bagaimana menguruskan kumpulan pelancong mereka, khususnya dari China,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada wartawan semasa menghadiri Sambutan Tahun Baharu Cina di Tokong FGS Hsing Ma, Taman Sutera, di sini hari ini.
Sementara itu, Cai Tung turut memberitahu setakat ini perjalanan Tahun Melawat Johor 2020 belum terjejas ekoran kerana masih terlalu awal.
“Ketibaan pelancong China sempena sambutan Tahun Baharu Cina di sini berjalan lancar kerana tempahan telah dibuat lebih awal.
“Namun untuk jangka masa panjang, kita perlu lihat situasi sama ada virus ini berlanjutan atau tidak,” ujarnya.
Johorkini